'Ayahanda' filem Hong Kong meninggal dunia


Mendiang Raymond Chow bertanggungjawab memupuk karier nama-nama besar industri perfileman Hong Kong. – Gambar AFP, 3 November, 2018.

RAYMOND Chow, pengeluar filem yang bertanggungjawab membawa legenda kung fu Bruce Lee ke layar perak dan dianggap sebagai “lagenda” pawagam Hong Kong, meninggal dunia pada usia 91 tahun hari ini.

Chow mendirikan studio Golden Harvest pada tahun 1971 dan dilihat sebagai perintis awal membawa filem-filem Hong Kong kepada penonton antarabangsa.

Beliau menghasilkan lebih daripada 170 filem dalam kerjayanya, beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab dan memupuk karier beberapa bintang aksi, termasuk Jackie Chan.

Chow mula bekerja dengan Lee ketika pembikinan “The Big Boss” - yang kemudian dikeluarkan dengan judul “Fists of Fury” di Amerika Syarikat - pada tahun 1971,filem itu menjadikan pelakon itu sebagai legenda seni mempertahankan diri dalam sekelip mata. Filem itu memecah rekod ‘box office’ kedua di Hong Kong dan luar negara.

Beliau meneruskan usahanya menghasilkan dua filem terkenal Lee: “Way of the Dragon” pada tahun 1972, diikuti setahun kemudian dengan “Enter the Dragon”, kerjasama sinematik pertama antara studio Hong Kong dan Hollywood.

Beliau mengulangi kejayaan serupa dengan pelakon aksi terkenal Jackie Chan, mereka pertama kali bekerjasama ketika pembikinan “The Young Master” pada tahun 1980.

Dilahirkan pada tahun 1927 di Hong Kong, Chow mendapat pendidikan kewartawanan di Shanghai dan bekerja sebagai wartawan seketika sebelum menceburi industri filem. – AFP, 3 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen