PERDANA Menteri Sri Lanka yang digulingkan, Ranil Wickremesinghe, memberi amaran bahawa tamat masa untuk mengelakkan “mandi darah”.
Beliau bagaimanapun menyuarakan harapanagar parlimen dapat menyelesaikan krisis perlembagaan di negara itu.
Wickremesinghe, yang masih tinggal di kediaman rasmi perdana menteri selama lebih dari seminggu apabila beribu-ribu penyokong berkumpul di luar, memberitahu AFP dalam satu temu bual bahawa “orang-orang yang terdesak” boleh menyebabkan kekacauan di negara pulau Lautan Hindi itu.
Beliau yang berusia 69 tahun itu dipecat pada 26 Oktober oleh Presiden Maithripala Sirisena, dengan bekas presiden Mahinda Rajapakse menggantikan tempatnya.
Walau bagaimanapun Wickremesinghe enggan menerima pemecatannya dan tidak meninggalkan kediaman tinggalan zaman penjajah yang luas itu, yang turut menyaksikan beberapa sami Buddha berdoa di luar kediaman itu sejak beliau dipecat.
Sirisena juga menggantung parlimen dalam usaha menghalang pembangkang menukar keputusannya itu, ia dilihat lebih mengeruhkan lagi kekacauan yang menyaksikan sekurang-kurangnya seorang lelaki terbunuh kerana ditembak dalam satu pertembungan ekoran krisis politik itu.
“Kami seru orang-orang kami untuk tidak melakukan keganasan,” kata Wickremesinghe pada Jumaat. “Tetapi anda tidak tahu apa yang boleh jadi dalam keadaan seperti ini.
“Beberapa orang yang terdesak boleh menyebabkan satu pertumpahan darah.”. – AFP, 3 November, 2018.
Komen