Pesara mengeluh, Bantuan Sara Hidup lebih rendah dari BR1M


SM Amin

Isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 kini menerima bantuan RM1,000 manakala isi rumah antara RM2,001 hingga RM3,000 menerima RM750 dan isi rumah antara RM3,001 dan RM4,000 mendapat RM500.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018

KALANGAN pesara mengeluh kerana berpendapat bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 lebih rendah daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima sebelum ini

Pesara tentera Abdul Rahman Harun, 52 berkata beliau hanya akan menerima RM990 sahaja melalui BSH berbanding RM1,200 yang diterima melalui BR1M semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Dengan meraih pendapatan sebanyak RM2,200, jumlah bantuan itu tidak memadai untuknya menyara dua orang anak yang masih bersekolah berkata, kata Abdul Rahman.

“Dulu saya dapat RM1,200 tetapi kalau tengok pengumuman tadi rasanya saya cuma dapat RM990 sahaja. RM750 sebab gaji bawah RM3,000, anak ada dua orang masih sekolah, tambah lagi RM240,” katanya

“Jadi bahagian mana yang kerajaan kata lebih banyak daripada BR1M? Guan Eng saya minta jangan cuba kelirukan orang, jangan permainkan perasaan orang macam kami ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau mengulas pengumuman oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam yang mengekalkan bantuan kewangan kepada golongan B40 melalui BSH dengan beberapa penambahbaikan.

Isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 kini menerima bantuan RM1,000 manakala isi rumah antara RM2,001 hingga RM3,000 menerima RM750 dan isi rumah antara RM3,001 dan RM4,000 mendapat RM500.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengumumkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur tidak lebih 18 tahun, terhad kepada empat orang dan tiada had bagi anak OKU.

“Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, maka jumlah BSH yang akan diterima adalah sebanyak RM1,480. Ini adalah lebih banyak daripada jumlah BR1M sedia ada sebanyak RM1,200,” kata Guan Eng.

Namun jika dibandingkan, penerima BR1M dalam kategori seperti Abdul Rahman yang berpendapatan RM2,000 hingga RM3,000 akan mendapat bantuan lebih tinggi, sebanyak RM1,200.

Golongan berpendapatan lebih rendah daripada itu juga akan mendapat jumlah bantuan BR1M yang sama, kecuali golongan bujang yang hanya mendapat RM450.

Penerima berpendapatan lebih tinggi, di antara RM3,000 hingga RM4,000 pula mendapat BR1M sebanyak RM900.

Seorang lagi pesara tentera, Shaik Alaudin Abd. Gaffoor tidak anak yang masih bersekolah namun tetap mengeluh kerana apabila beliau kini hanya menerima RM1,000 berbanding RM1,200 sebelum ini.

Malah beliau juga keliru dengan pengumuman kerajaan mengenai pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang berkelayakan.

Beliau ingin tahu sekiranya bantuan itu hanya untuk kategori OKU yang disahkan oleh lembaga perubatan tentera yang lebih dikenali sebagai Medical Board (MB) di kalangan bekas anggota.

“Yang berkelayakan itu siapa? Tidak semua dapat kah? Orang yang “MB” sahajakah?” katanya.

Lembaga MB dalam pasukan berkenaan bertanggungjawab menilai sekiranya seseorang anggota tentera layak menerima elaun kecederaan atau sebaliknya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan The Malaysian Insight pada Ogos lalu memberitahu, BSH akan dikurangkan sedikit demi sedikit dan akan dimansuhkan.

Katanya, ia terpaksa dilakukan kerana pentadbiran Najib Razak sebelum ini terlalu “memanjakan” rakyat dan penerima itu tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja.

Katanya, jika terus disuap dengan bantuan seperti itu, rakyat akan menjadi lemah dan negara pula akan jatuh muflis.

Sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan bagi BR1M dalam bajet tahun ini untuk diagihkan kepada 7.2 juta penerima.

BR1M dijenamakan semula kepada BSH oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan dan diagihkan pada tahun depan dengan peruntukan RM5 bilion. – 3 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen