AKTOR Hollywood Alec Baldwin ditahan dan didakwa atas tuduhan serangan pada Jumaat selepas didakwa menumbuk seorang lelaki berusia 49 tahun di bahagian muka ketika berebut ruang parkir di New York, kata polis.
Pelakon berusia 60 tahun yang tinggal di Manhattan dengan isteri kedua dan empat orang anak itu ditahan di Greenwich Village.
“Polis menerima panggilan kira-kira pukul 1.30 petang berkenaan serangan. Ketika kami tiba di lokasi, kami dapati dua individu sedang bergaduh merebut ruang parkir,” kata jurucakap polis.
Lelaki yang lebih muda itu sudah meletakkan kenderaannya dan cuba membeli tiket parkir, apabila bertembung dengan Baldwin, “yang kemudian bertindak menumbuk mukanya,” kata pegawai berkenaan.
Katanya, lelaki yang tidak dinamakan itu kemudiannya dikejarkan ke hospital dalam keadaan “stabil”, sementara Baldwin ditahan.
Beliau didakwa kerana serangan tahap ketiga dan gangguan tahap kedua dan diarah hadir ke mahkamah pada 26 November, kata polis. – AFP, 3 November, 2018
Komen