Biar rakyat nilai belanjawan Pakatan Harapan


BAJET 2019 tidak ada garis panduan untuk wujudkan lebih banyak peluang kerja. Inilah yang ingin ditunggu oleh rakyat, namun amat menghampakan. Bajet hanya sebut rancangan latihan dan bimbingan. Ia mengambil masa sedangkan rakyat mahu penyelesaian segera.

Bagaimanapun, ada yang boleh dianggap baik, khasnya penerima BR1M dan bantuan lain. Apapun, ia tidak menyeluruh dan hambar.

Tidak ada yang istimewa untuk rakyat, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka. Banyak berkisar pada skim kesihatan dan dividen yang longgar.

Memang ada berita baik mengenai pengguna pengangkutan awam tetapi ia lebih kepada pengguna di tempat-tempat yang ada LRT dan MRT.

RM314.5 bilion akan diperolehi dari mana jika kerajaan berkata hutang negara berjumlah RM1 trilion? Mana perkiraan fiskalnya?

Walaupun ada kebaikan, seperti RM1.2 bilion untuk kemajuan Islam, tidak ada pengkhususan langsung bagi menarik dan meningkatkan semula pelaburan asing. Dari mana kita akan dapat hasil?

Secara umum, ia adalah bajet yang diubahsuai daripada kerajaan terdahulu. Asasnya sudah tersedia. Tetapi tidak ada yang menarik untuk rakyat secara keseluruhan.

Ini bajet untuk mempopularkan kerajaan, untuk kerajaan dan bukan untuk rakyat.

Saya kesal kerana kerajaan sengaja menggunakan ucapan belanjawan untuk terus menghentam dan memberi gambaran terburuk kepada BN. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Biarlah rakyat sendiri yang menilai belanjawan ini, sama ada hak dan keistimewaan mereka dipulangkan atau sebaliknya. Waktu akan menentukan. – 2 November, 2018.

* Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden Umno dan juga merupakan ketua pembangkang di Dewan Rakyat

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen