PENJAWAT awam tidak melihat Belanjawan 2019 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng sesuatu yang mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi terutamanya soal perumahan dan kos sara hidup.
Penjawat awam di Putrajaya Mustafar Hamid, 38, berkata tindakan kerajaan yang membatalkan cadangan kenaikan gaji tahunan (KGT) yang sepatutnya diterima pada Julai lalu masih menyebabkan penjawat awam kurang teruja dengan belanjawan ini.
Katanya, bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah adalah sama seperti yang diterima pada tahun-tahun sebelum ini.
“Walaupun ia membantu dari segi persediaan persekolahan, tapi ia tidak membantu menyelesaikan secara total isu membabitkan kenaikan kos sara hidup.
“Kenaikan gaji tahunan sebenarnya lebih membantu menangani masalah kenaikan kos sara hidup, bukan sahaja kepada penjawat awam malahan boleh memberi kesan positif kepada ekonomi negara sepanjang tahun,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Zainal Ahmad, seorang lagi penjawat awam di Putrajaya, menyifatkan bayaran khas RM500 yang dibayar pada tahun ini juga hanya untuk menutup tindakan kerajaan membatalkan KGT khas yang sepatutnya dinikmati penjawat awam pada tahun ini.
“Sewajarnya Bajet 2019 adalah untuk perbelanjaan tahun 2019. Justeru sewajarnya bonus tersebut adalah dibawa ke tahun hadapan kerana pada tahun ini penjawat awam telahpun menerima bantuan tersebut melalui Bajet 2018.
“Ianya dilihat sekadar gula-gula populis untuk menutup tindakan kerajaan batalkan KGT khas 2018 yang sepatutnya dinikmati pada Julai 2018 yang lalu,” katanya kecewa.
Ogos lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum bersedia untuk menaikkan gaji 1.6 juta penjawat awam namun berjanji untuk melakukannya pada waktu yang bersesuaian.
Jelasnya, kenaikan gaji itu akan memberi kesan kepada kerajaan yang ketika ini sedang memberi tumpuan untuk mengurangkan hutang negara.
Berkenaan dengan pengumuman kerajaan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Asyraf Nordin pula melihat ia bukan penyelesaian kepada isu utama iaitu harga rumah yang mahal.
Kata Asyraf, purata haraga rumah di Lembah Klang sekitar RM400 ribu dengan bayaran bulanan sekitar RM1,500 – bersamaan separuh gaji pegawai bergred 41, ataupun bersamaan seluruh gaji untuk kakitangan sokongan gred 19.
“Adakah pemanjangan tempoh pembiayaan LPPSA daripada 30 tahun kepada 35 tahun benar-benar memberi kemudahan kepada penjawat awam?
“Pemanjangan tempoh bayaran ini bukan penyelesaian ampuh terhadap isu sebenar, iaitu peningkatan harga rumah,” katanya.
Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan pertama perumahan sektor awam selama 30 tahun di bawah LPPSA kepada 35 tahun, manakala bagi pembiayaan kedua dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun.
Pengumuman Guan Eng itu bagaimanapun disambut baik Naemah Iskandar yang berharap penjawat awam yang baru bekerja akan lebih mudah memiliki rumah sendiri.
“Berita baik ini seakan-akan memberi sinar baru memandangkan situasi pasaran harga rumah yang semakin tinggi membuatkan impian tersebut menjadi semakin sukar untuk dikecapi.
“Walau bagaimanapun, bagi jangka masa panjang untuk rakyat Malaysia amnya dan penjawat awam khasnya harga rumah yang meningkat setiap tahun biarlah lebih relevan, selari dengan pendapatan isi rumah,” katanya. – 2 November, 2018.
Komen