SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti kukuh sebelum mengenakan sekatan terhadap pihak yang menjadi dalang pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam program Mark Reardon Show di St Louis pada Khamis.
Tambahnya, pentadbiran Presiden Donald Trump turut akan meneliti semula sama ada perlu mengenakan sekatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan pembunuhan itu.
“Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum dapat mengumpul bukti yang cukup. Saya rasa kita mampu melakukannya,” katanya lapor agensi berita Xinhua.
Tambah beliau lagi, AS mempunyai “hubungan strategik jangka panjang dan baik” dengan Arab Saudi dan mahu memastikan perhubungan itu kekal utuh.
Berhubung kes itu AS bekerjasama baik dengan Arab Saudi dan Turki, katanya.
Terdahulu pada Rabu, ketua pejabat pendakwa raya Istanbul berkata, Khashoggi dicekik hingga mati sejurus memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Khashoggi, penulis ruangan Washington Post, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.
Berikutan kes itu, 18 orang telah ditahan kerana disyaki terbabit.
Selain mengecam cara Arab Saudi mengendalikan kes itu, AS turut membatalkan visa 21 pegawai Arab Saudi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan terbabit. – Bernama, 2 November, 2018.
Komen