SEORANG lelaki Australia dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara pada hari Jumaat kerana membantu isterinya membunuh diri.
Ia dilakukan supaya tertuduh boleh mengakses insurans hayat isterinya, hakim mengatakan ia mempunyai maksud membunuh.
Graham Morant, 69, didapati bersalah bulan lalu kerana memberi saranan di samping membantu isterinya, Jennifer Morant untuk membunuh diri pada tahun 2014.
Jennifer menderita sakit belakang dan kemurungan kronik. mangsa ditemui mati di dalam keretanya oleh polis bersama nota yang meminta supaya mangsa tidak diselamatkan.
Mahkamah Queensland menjelaskan bahawa Morant membantu isterinya membeli peralatan dari sebuah kedai barangan pertukangan untuk membantunya membunuh diri dan mendorongnya berbuat demikian.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata Morant adalah penerima tunggal insurans hayat isterinya dan melakukan perbuatan itu untuk mendapatkan ASD1 juta berikutan kematiannya.
“Anda mengambil kesempatan terhadap kelemahannya sebagai wanita yang sakit dan mengalami kemurungan,” kata Hakim Peter Davis.
“Anda memberi nasihat dan membantu isteri anda untuk membunuh dirinya sendiri kerana anda mahu mendapatkan ASD1 juta.”
Davis menambah bahawa sebelum ini tidak ada sabitan hukuman di Queensland bagi dakwaan mendorong perbuatan bunuh diri. – AFP, 2 November, 2018.
Komen