Penyelamat mangsa gua Tham Luang terima anugerah di Australia


Operasi menyelamatkan 12 remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam gua di utara Thailand pada Julai lalu membabitkan anggota penyelamat dari beberapa negara. – Gambar fail AFP, 2 November, 2018.

PENYELAM yang terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa terperangkap di sebuah gua di Thailand, Richard Harris menerima anugerah “Australia of the Year”, lapor Xinhua.

Namanya menjadi tajuk utama media antarabangsa selepas mendedahkan beliau orang terakhir meninggalkan gua Tham Luang, selepas membantu menyelamatkan 12 remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak.

Beliau yang juga pakar bius, menggunakan kepakarannya membimbing mangsa supaya bertenang ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Saya bangga dan terharu dengan anugerah yang diterima,” katanya selepas menerima anugerah itu dalam satu majlis di Adelaide pada Khamis.

Mengimbau detik mula menyertai operasi menyelamat, Harris berkata sebaik dihubungi pakar menyelam dari Britain, beliau membatalkan percutiannya pada saat-saat akhir untuk menyertai operasi itu.

Kesemua mangsa terbabit terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, utara Thailand pada Julai lalu.

Remaja berumur 11 hingga 16 tahun itu bukan saja tidak tahu berenang dan perlu menyelam bersendirian terutama di laluan bawah air tertentu yang keruh dan terlalu sempit untuk memuatkan dua orang.

Mereka berjaya diselamatkan selepas 17 hari terperangkap. – Bernama, 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen