Kerusi, tayar pesawat Lion Air Indonesia ditemui di dasar laut


Anggota menyelamat membawa turun beberapa bahagian daripada bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa, Indonesia, Isnin lalu menyebabkan 189 terkorban. – Gambar EPA, 2 November, 2018.

KERUSI, tayar dan bahagian lain pesawat Lion Air Indonesia ditarik keluar dari dasar laut hari ini, dan pada masa sama pihak berkuasa senang menganalisis data kota hitam yang mungkin dapat menjelaskan mengapa pesawat masih baharu itu terhempas di Laut Jawa, menyebabkan 189 terkorban.

Pasukan mencari menemui bangkai pesawat Boeing-737 MAX 8 di dasar laut, di perairan utara Indonesia, tidak lama selepas berlepas dari Jakarta, pada Isnin lalu.

“Hari ini kami akan mula menyelam lagi di tempat di mana kami fikir pesawat itu terhempas,” kata ketua jabatan mencari dan menyelamat tentera laut Indonesia, Isswarto.

“Ada banyak serpihan kecil, tayar pesawat dan kerusi, semuanya musnah dan berkecai.”

Penyelam mencari di kawasan sejauh 25-35 meter kedalaman, tetapi mendapati tidak banyak serpihan lagi berbanding minggu lalu, katanya.

“Ia bersepah ke sana sini dan mungkin kebanyakannya sudah dibawa arus.”

Berpuluh-puluh beg mayat mengandungi sisa mangsa ditemui dari tempat kejadian, setakat ini.

Imej televisyen menunjukkan penyelam mengikat tali di beberapa bahagian pesawat yang bersepahan di sepanjang dasar laut.

Semalam, pihak berkuasa berkata kotak hitam pesawat sudah ditemui. Ia mungkin peluang terbaik penyiasat untuk mengetahui punca kejadian malang itu. Kotak hitam biasanya dapat menjelaskan 90% tentang kejadian itu, menurut pakar penerbangan.

Alat itu merakamkan maklumat tentang kelajuan, altitud dan arah pesawat selain perbualan anak kapal.

Pesawat Boeing yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Pangkal Pinang itu antara jet penumpang komersial paling baru dan terkini. – AFP, 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen