GURU beberapa sekolah di kawasan terpencil Sarawak dilaporkan terpaksa mengutip duit sesama mereka untuk membeli minyak diesel bagi keperluan penjana elektrik di sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan di Baram, Dennis Ngau berkata dana yang diperuntukkan Kementerian Pendidikan untuk sekolah membeli minyak diesel biasanya tidak mencukupi.
“Duit itu tidak mencukupi, jadi guru terpaksa bekerjasama dan membuat kutipan untuk membayar kepada pembekal,” katanya kepada The Malaysian Insight Ngau sebagai mengulas laporan gangguan bekalan diesel.
Masalah kekurangan bekalan minyak diesel dihadapi oleh 370 sekolah di kawasan pedalaman Sabah menimbulkan kontroversi berhubung usaha kerajaan sebelum ini untuk membekalkan sekolah berkenaan dengan tenaga solar.
Sebelum pilihan raya umum 9 Mei, syarikat berpangkalan di Bintulu, Jepak Holdings Sdn Bhd diberikan tender oleh kementerian untuk membekalkan bahan api itu kepada lebih 370 sekolah di pedalaman Sarawak dan juga memasang sistem tenaga solar untuk janakuasa yang lebih lama.
Kontrak RM1.25 bilion itu yang diberikan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada Januari 2017 mencetuskan kontroversi kerana ada dakwaan mengatakan Najib melangkaui peraturan ketat Kementerian Pendidikan dalam rundingan tender dan harga.
Selain itu beberapa syarikat layak untuk memasang sistem tenaga solar diluluskan untuk kontrak yang memihak kepada syarikat berkaitan dengan politik.
Persoalan juga timbul bagaimana Jepak Holdings, sebuah syarikat yang tidak berpengalaman dan kepakaran dalam janakuasa solar, boleh diberikan kontrak pada nilai dan skala besar.
Pemberi maklumat Sarawak Report mendakwa dalam tempoh 18 bulan pada kontrak tiga tahun itu, “tiada satu unit pun janakuasa solar dipasang di mana-mana sekolah yang ditetapkan, walaupun wang berkenaan terus mengalir keluar dari Jabatan Pendidikan”.
Sebulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan, kontrak berkenaan ditamatkan dan kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada Julai, Menteri Pendidikan Sarawak Michael Manyin memberitahu persidangan dewan undangan negeri bagi mengelakkan gangguan, Jabatan Pendidikan diberi kuasa oleh kementerian untuk membuat pembelian terus diesel sehingga RM20,000 sebulan untuk harga siling RM200,000 bagi 10 bulan kepada setiap sekolah.
Manyin berkata di bawah panduan pembelian baharu, pengarah Jabatan Pendidikan akan melantik satu syarikat untuk sebuah sekolah dan keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, Manyin berkata negeri tidak membatalkan kontrak itu kerana “ia melibatkan isu undang-undang” namun berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jepak Holdings untuk menyelesaikan masalah itu.
“Saya harap isu kontrak diesel ini akan diselesaikan secepat mungkin,” kata Manyin.
Manyin turut memaklumkan kepada sidang dewan pada Julai, sistem solar hibrid yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan untuk sekolah di kawasan pedalaman ini “bukan penyelesaian” kepada masalah.
Pada 2017, kementeriannya menghantar cadangan untuk 113 sekolah dalam lingkungan 110km grid elektrik untuk disambungkan dengan talian kuasa.
Anggaran kos pada masa itu katanya RM50 juta.
Manyin berkata Kementerian Pendidikan gagal memberi maklum balas berhubung cadangan itu.
Sementara ahli politik berusaha menangani pertikaian itu, guru dan aktivis akan terus mengutip duit untuk memberi bekalan elektrik kepada sekolah di kawasan pedalaman. – 12 November, 2018.
Komen