Keluarga penyanyi Chris Cornell saman doktor


Vokalis Soundgarden, Chris Cornell ditemui mati di sebuah bilik hotel di Detroit pada 18 Mei, 2017 selepas mengadakan persembahan.– Gambar EPA, 2 November, 2018

KELUARGA kepada penyanyi Chris Cornel mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang doktor di Beverly Hills, yang didakwa memberi preskripsi ubat-ubatan berlebihan kepada penyanyi rock itu, membawa kepada tindakan bunuh dirinya tahun lalu. 

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles dan mendakwa Dr Robertson Koblin “kelalaian secara berulang” memberi preskripsi berlebihan bahan kawalan—iaitu 940 dos dadah anti-kemurungan Lorazepam, yang juga dikenali sebagai Ativan—kepada penyanyi terbabit bermula pada 2015 dan sehingga kematiannya pada Mei 2017. 

Saman itu difailkan bagi pihak balu Cornell, Vicky Cornell dan dua anak mereka, mendakwa Koblin pada ketika itu hanya memberikan preskripsi ubat tanpa benar-benar menjalankan pemeriksaan ke atasnya. 

“Dr Koblin pada ketika itu tidak pernah menjalankan pemeriksaan perubatan terhadap Cornell, menjalankan kajian makmal atau membuat sebarang penilaian klinikal terhadap Cornell,” menurut saman itu. 

“Malah beliau tidak pernah secara fizikal bertemu atau bercakap dengan Cornell pada tempoh itu.”

Saman itu mendakwa dadah itu “merosakkan kognisi Encik Cornell, mengganggu pertimbangannya dan menyebabkan dia terlibat dalam tingkah laku berbahaya dan impulsif yang dia tidak dapat kawal, memberi kesan kepada hidupnya.”

“Ketika kematiannya, Cornell memiliki segala-galanya dan merancang untuk membuat rakaman, persembahan dan meneruskan kerja sebagai aktivis kebajikan,” menurut saman itu. 

Koblin bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut. 

Cornell yang sebelum ini menghadapi tekanan dan bergantung kepada ubat-ubatan, ditemui mati pada 18 Mei, 2017 di biik sebuah hotel di Detroit selepas mengadakan persembahan dengan kumpulannya Soundgarden. 

Kematiannya dilaporkan berpunca daripada tindakan menggantung diri. Menurut pejabat koroner, walaupun terdapat preskripsi dadah ditemui dalam sistem badannya, ia tidak menyebabkan kematian penyanyi itu. – AFP, 2 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen