POLIS sedang menyiasat kes kematian dua beradik perempuan dari Arab Saudi yang dijumpai dalam keadaan diikat bersama menggunakan pita pembalut di Sungai Hudson, New York minggu lepas, lapor Associated Press of Pakistan memetik media Amerika Syarikat.
Mayat Tala Farea, 16, dan Rotana Farea, 22, ditemui dalam keadaan berdepan antara satu sama lain serta berpakaian lengkap tanpa sebarang tanda trauma yang jelas, kata polis.
Pemeriksa perubatan bandaraya New York belum mengesahkan punca kematian, sama ada ia adalah pembunuhan berganda atau satu pakatan bunuh diri.
Pejabat pemeriksa perubatan berkata kedua-dua mayat belum reput ketika ditemui orang yang lalu di situ pada 24 Oktober, menunjukkan mereka belum lama meninggal dunia.
Dua beradik itu meminta suaka di Amerika Syarikat baru-baru ini tanpa memberikan sebarang alasan dalam permohonan mereka, lapor New York Times yang memetik kenyataan polis.
Ibu mereka turut menerima panggilan dari kedutaan Arab Saudi di Washington yang memaklumkan tentang permohonan suaka itu.
Kedua-duanya berpindah dari Arab Saudi ke Fairfax, Virginia pada 2015 bersama ibu mereka, dan memiliki sejarah lari dari rumah, kata para pegawai Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, para penyiasat berkata bagaimana kedua-dua mangsa boleh ditemui mati di tebing sungai lebih 400 kilometer dari rumah mereka masih menjadi “teka-teki.”
Konsulat Jeneral Arab Saudi dalam satu kenyataan menyebut para pegawai kedutaan negara itu telah menghubungi keluarga mangsa dan menambah kedua-dua beradik itu adalah pelajar yang “sedang menemani abang mereka di Washington.”
Polis mengeluarkan lakaran kedua-dua gadis itu minggu lepas dalam usaha untuk mengenal pasti mayat mereka.
Dalam satu sidang akhbar pada Rabu, ketua detektif bandaraya itu berkata terdapat beberapa “lompang” dalam sejarah dua beradik tersebut, yang kini cuba dirungkai oleh para penyiasat.
“Saya yakin apabila siasatan sepenuhnya selesai, kami akan tahu apa yang sebenarnya berlaku,” kata Detektif Dermot Shea. – Bernama, 1 November, 2018.
Komen