Juruterbang mabuk punca penerbangan tertangguh lebih sejam


Kejadian itu berlaku sehari selepas syarikat penerbangan All Nippon Airways mendedahkan seorang juruterbang mabuk menyebabkan banyak penerbangan tertangguh. – Gambar fail EPA, 1 November, 2018.

SYARIKAT penerbangan Jepun, Japan Airlines (JAL) memohon maaf selepas seorang pembantu juruterbangnya ditahan di London atas kesalahan mabuk, sekali gus menyebabkan penerbangan ke Tokyo tertangguh.

Pegawai komunikasi JAL Muneaki Kitahara dalam kenyataannya berkata juruterbang tersebut melepasi ujian alkohol pada awalnya tetapi mengundang kecurigaan seorang pemandu yang membawanya ke lapangan terbang Heathrow.

Selepas menjalani ujian alkohol kedua sebelum berlepas, juruterbang itu didapati berada dalam pengaruh alkohol dan ditahan polis.

Ujian darah mengesahkan juruterbang itu berada dalam keadaan mabuk.

“Kami percaya ujian alkohol yang dijalankan oleh pihak syarikat tidak dilakukan dengan betul,” kata Muneaki.

Pesawat itu berlepas dari London selepas tertangguh selama sejam dan 9 minit.

“Syarikat kami memohon maaf kepada penumpang dan semua staf yang terjejas atas kejadian itu,” kata JAL.

Kejadian itu berlaku sehari selepas syarikat penerbangan All Nippon Airways mendedahkan seorang juruterbang mabuk menyebabkan banyak penerbangan tertangguh.

Susulan dua insiden itu, kementerian pengangkutan Jepun mengarahkan syarikat penerbangan untuk mematuhi peraturan berkaitan minuman beralkohol dalam kalangan pekerja. – AFP, 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen