PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan dijangka memulakan lawatan empat hari ke China pada Jumaat atas jemputan Perdana Menteri Li Keqiang.
Dilahirkan pada 1952, Khan menamatkan pengajian dari Universiti Oxford dengan segulung ijazah sarjana muda pada 1975.
Sebagai bekas bintang dalam sukan kriket, beliau menjadi kapten pasukan kebangsaan Pakistan pada 1982 dan memimpin pasukan itu untuk memenangi Piala Dunia Kriket pada 1992.
Menurut agensi berita China Xinhua, Khan memulakan kerjaya politiknya dengan menubuhkan Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan, atau Pergerakan Keadilan, pada 1996.
Pada pilihan raya 2002 dan 2013, beliau meraih kemenangan dan menjadi anggota Perhimpunan Kebangsaan.
Khan dipilih sebagai perdana menteri Pakistan yang baharu pada Ogos 2018.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke China selepas mengambil alih jawatan. – Bernama, 1 November, 2018.
Komen