2 kerajaan Libya setuju bekerjasama


Libya mempunyai dua kerajaan, satu pentadbiran di Tripoli yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu lagi berpusat di timur. – Gambar fail EPA, 1 November, 2018.

PARLIMEN Libya bersetuju pada untuk bekerjasama memperbaharui institusi kerajaan, dalam usaha menyatukan pihak berkuasa dalam industri pengeluaran minyak negara.

Negara di Afrika Utara itu mempunyai dua kerajaan, satu pentadbiran di Tripoli yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu lagi berpusat di timur.

“Kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama di bawah Majlis Presiden (PC) terdiri presiden, dua timbalan menteri dan perdana menteri,” menurut kenyataan bersama yang dimuat naik anggota parlimen Dewan Perwakilan Rakyat (HoR) Abdulsalam Nusia di Twitter.

Jurucakap HoR dan Majlis Negara mengesahkan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian itu.

“Projek nasional itu untuk memperbaharui cawangan eksekutif dan menyatukan institusi negeri bagi menamatkan pembahagian negara,” kata kenyataan itu.

Ibu pejabat Majlis Presiden terletak di Tripoli diketuai Perdana Menteri Fayez Seraj namun tidak diiktiraf kerajaan di timur.

PBB cuba menjadi orang tengah untuk mengajak kedua-dua pihak bersetuju mengadakan pilihan raya. 

Kerajaan Tripoli disokong beberapa kumpulan bersenjata manakala Khalifah Haftar menerajui pentadbiran di timur. – Bernama, 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen