Malaysia perlu teruskan agenda perubahan, kata Bank Dunia


Yasmin Ramlan

Pakar ekonomi Bank Dunia, Arvind berharap kerajaan Malaysia akan meneruskan agenda pembaharuan untuk mengekalkan kedudukan sebagai 20 negara terbaik di dunia dalam pengawasan dan penguatkuasaan terhadap perniagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 November, 2018.

MALAYSIA perlu meneruskan agenda perubahan untuk kekal dalam senarai 20 negara terbaik dalam pengawasan dan penguatkuasaan ke atas perniagaan, kata Bank Dunia.

Laporan Doing Business 2019 yang dilancarkan badan itu hari ini menyebut Malaysia memperbaiki kedudukan ke tangga ke-15 daripada 190 negara yang dikaji oleh institusi kewangan dunia itu.

“Saya harap kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuannya untuk mengekalkan kedudukan negara yang kini berada dalam 20 terbaik dalam ekonomi dunia,” kata pakar ekonominya Arvind Jain.

Jelasnya, Malaysia masih tidak meningkatkan prestasinya dalam aspek memulakan perniagaan kerana pengusaha masih memerlukan masa yang lama untuk berbuat demikian.

“Meskipun terdapat pembaharuan berbanding tahun lalu dan sebelum ini, ia memerlukan 9.5 prosedur dan 13.5 hari untuk mendaftarkan perniagaan baharu, berbanding di Singapura iaitu memerlukan dua prosedur dan 1.5 hari,” katanya.

Di Brunei pula, pendaftaran perniagaan baharu hanya melibatkan 3.5 prosedur dan memakan masa 5.5, katanya dalam sidang media selepas melancarkan laporan itu di Sasana Kijang, Kuala Lumpur hari ini.

Kajian Bank Dunia ke atas aspek memulakan perniagaan perniagaan itu meletakkan negara pada tangga ke-122.

Selain proses memulakan perniagaan, turut dinilai adalaah proses pendaftaran hartanah, perlindungan ke atas pelabur minoriti, pembayaran cukai dan penyelesaian ke atas kes bankrap. – Bernama, 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen