Wanita AS ditemui selamat selepas 6 hari kereta terbabas


SEORANG wanita Amerika Syarikat ditemui hidup selepas enam hari keretanya terbabas dari lebuh raya dan tersangkut di sebatang pokok di Arizona, kata polis semalam.

Wanita berusia 53 tahun itu dalam perjalanan di Lebuh Raya 60 berhampiran Wickenburg, hampir 80 kilometer dari utara Phoenix apabila hilang kawalan pada 12 Oktober kata Jabatan Keselamatan Awam Arizona dalam satu kenyataan.

Beliau merempuh penghadang lebuh raya dan terhumban hampir 17 meter ke atas sebatang pokok yang menghalang keretanya daripada jatuh ke bawah, kata pegawai kerajaan negeri.

“Tidak ada saksi kepada kejadian dan mengambil masa enam hari sebelum wanita itu ditemui pihak berkuasa,” kata pegawai lagi.

Pada 18 Oktober lalu, seorang pekerja baik pulih lebuh raya dan renjer cuba menangkap seekor lembu terlepas ke lebuh raya apabila mereka melihat penghadang rosak dan kereta tersangkut di atas pokok, kata kenyataan itu.

Seorang polis bersama-sama pekerja dan renjer itu kemudiannya tidak menemui mangsa dalam kereta tetapi menemui “kesan pergerakan manusia” menuju ke sebatang sungai.

Selepas menyelusuri jejak itu sejauh 457 meter, mereka menemui seorang wanita yang cedera parah, kata kenyataan itu lagi tanpa mendedahkan identiti mangsa.

Wanita itu memberitahu polis yang beliau duduk di dalam keretanya selama “beberapa hari” sebelum memanjat keluar dan cuba berjalan ke lebuh raya dengan harapan ditemui tetapi keadaannya yang lemah menyukarkan keadaan.

Wanita itu dibawa ke hospital menaiki helikopter selepas diselamatkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Frank Milstead memuji tindakan penyelamat.

“Disebabkan usaha mereka, wanita itu berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP, 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen