Berjuta penduduk Mexico terjejas bekalan air terputus


Hampir tujuh juta penduduk Bandar Mexico dan kawasan sekitar terkesan kerana kerja baik pulih sistem bekalan air yang hanya dijangka pulih sepenuhnya pada 8 November. – Gambar EPA, 1 November, 2018.

BERJUTA penduduk Bandar Mexico terputus bekalan air semalam yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya empat hari lagi ketika pihak berkuasa menjalankan kerja baik pulih sistem bekalan utamanya.

Separuh daripada lapan juta penduduk bandar itu terjejas, dan tiga juta penduduk bandar berhampiran turut terkena tempiasnya.

Pengarah Sistem Air Bandar Mexico Ramon Aguirre menasihati penduduk “untuk menjimatkan air, tidak membasuh pakaian dan mandi menggunakan hanya sedikit air.”

“Mereka yang berkemampuan patut membeli pinggan dan cawan pakai buang dan menjimatkan penggunaan air,” katanya lagi.

Sekolah ditutup dan ramai penduduk memilih untuk meninggalkan bandar itu menjelang cuti “Day of the Dead”.

Beberapa perniagaan juga memutuskan memberikan pekerja mereka cuti bermula Khamis.

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran terputus bekalan air sejak berminggu lamanya dan penduduk yang mula menyimpan air menyebabkan harga barangan naik.

Bandar Mexico adalah salah sebuah bandar terbesar di dunia. Bekalan air dijangka terputus sehingga Ahad, walaupun sistem tidak akan beroperasi sepenuhnya sehingga 8 November.

Kerja baik pulih akan dilakukan di kawasan Cutzamala, bahagian yang membekalkan air dari negeri Michoacan kepada bandar tersebut.

Di kawasan kejiranan kaya, banyak bangunan mempunyai sistem simpanan air yang membolehkan air disimpan untuk beberapa hari seterusnya mengurangkan kesan terputus bekalan kepada penduduk.

Kompleks membeli belah juga mempunyai simpanan mencukupi tetapi banyak restoran kecil memilih untuk menghentikan operasi seketika.

Pihak berkuasa bersiap sedia membekalkan air menggunakan trak tangki air ke kawasan strategik seperti hospital.

Di beberapa kawasan lain, pihak berkuasa meletakkan tangki simpanan untuk kecemasan, trak juga dihantar ke kawasan yang dijangka berlaku kekecohan.

Terdapat pembekal air persendirian yang membekalkan air pada harga AS$83 untuk 10,000 liter.

Kawasan Iztapalapa, salah sebuah kawasan termiskin di Bandar Mexico dengan penduduk 1.8 juta orang adalah kawasan paling teruk terjejas, tetapi penduduknya sudah biasa menerima air daripada trak air.

Daripada 2.5 juta rumah di bandar itu, hampir 569,000 tidak menerima bekalan air harian dan 45,950 pula tidak langsung menerima bekalan air.

Kawasan tadahan air Bandar Mexico yang dibina di atas bandar lama Aztec, Tenochtitlan digynakan berdekad lamanya menyebabkan beberapa kawasan di bandar itu tenggelam antara dua hingga 30 sentimeter setahun.

40% bekalan air bandar itu juga hilang disebabkan kebocoran paip.  – AFP, 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen