SEORANG bekas eksekutif kanan syarikat minyak Venezuela mengaku bersalah semalam di mahkamah AS kerana peranannya dalam pengubahan wang haram bernilai lebih AS$1 bilion yang diseleweng daripada syarikat itu.
Ia adalah perkembangan terbaru dalam skim penyelewengan dana Petroleos de Venezuela (PDSVA), sumber pendapatan utama negara itu yang kini bergelut keruntuhan ekonomi dan inflasi menggunung.
Skim itu melibatkan “pengurus kewangan, syarikat broker, bank dan syarikat pelaburan hartanah di Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang bersubahat, beroperasi sebagai pengubah wang haram profesional,” serta kelompok elit Venezuela yang dikenali sebagai “boliburgues”, kata Jabatan Kehakiman AS.
Abraham Edgardo Ortega, 51, bekas pengarah eksekutif perancangan kewangan PDSVA mengaku bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram, umum Jabatan Kehakiman AS. Beliau dijadualkan dijatuhi hukuman pada 9 Januari di Miami.
Ortega mengaku mengambil rasuah AS$17 juta sebagai balasan “memberikan keutamaan status pinjaman kepada sebuah syarikat Perancis dan sebuah bank Rusia yang merupakan pemilik saham minoriti dalam sebuah kerjasama dengan PDVSA.”
Beliau juga menggubah wang haram itu menerusi pelbagai pelaburan palsu.
Pada Isnin, seorang bekas eksekutif bank Switzerland Julius Baer, Matthias Krull, seorang warga Jerman berusia 44 tahun yang kini menetap di Panama dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana peranannya dalam skim pengubahan wang haram.
Di bawah pentadbiran Presiden Nicolas Maduro, Venezuela berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan serta inflasi yang meninggi mencecah sejuta peratus tahun ini dan dianggar meningkat setinggi 10 juta peratus pada 2019. – AFP, 1 November, 2018.
Komen