Indonesia kesal Arab Saudi laksana hukuman mati warganya tanpa makluman


Indonesia banyak menghantar pekerja domestik di Timur Tengah dan negara di Asia, termasuk Singapura, Hong Kong dan Malaysia, dan sering menerima aduan mengenai layanan diterima pekerja di luar negara. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2018.

JAKARTA memfailkan protes rasmi terhadap Arab Saudi selepas negara yang kaya dengan hasil minyak itu menghukum mati seorang pembantu rumah Indonesia tanpa memberitahu keluarganya atau kakitangan konsulat.

Tuti Tursilawati dihukum mati pada Isnin di bandar Thaif, kata Kementerian Luar Negeri Indonesia, tujuh tahun selepas beliau dijatuhi hukuman mati kerana membunuh majikannya yang didakwa beliau sebagai tindakan mempertahankan diri daripada gangguan seksual.

Presiden Joko Widodo mengkritik keputusan hari ini, mengatakan kerajaan secara rasmi membuat bantahan kepada Riyadh dan menuntut perlindungan lebih baik bagi pekerja Indonesia di sana.

Lalu Muhammad Iqbal, ketua jabatan perlindungan rakyat Indonesia, memberitahu pemberita hari ini langkah itu “dikesali”.

“Pelaksanaan hukuman mati Tuti Tursilawati dilakukan tanpa sebarang makluman kepada wakil kami, sama ada di Riyadh atau Jeddah,” katanya pada sidang akhbar.

Tursilawati mendakwa beliau bertindak mempertahankan diri ketika membunuh majikannya pada 2010 selepas cubaan merogolnya.

Migrant Care, sebuah NGO yang menyokong hak pekerja Indonesia di luar negara, mengutuk pelaksanaan hukuman itu dan menggesa kerajaan mengambil langkah diplomatik yang serius.

Ia berkata Indonesia harus membatalkan keputusan baru-baru ini untuk membenarkan sejumlah pekerja asing Indonesia ke Arab Saudi walaupun larangan pada 2015 mengharamkan pekerja domestik baharu memasuki 21 negara di Timur Tengah.

Indonesia memperkenalkan larangan tersebut selepas hukuman mati dua lagi pembantu rumah Indonesia oleh Arab Saudi pada tahun yang sama.

Kesalahan mengedar dadah, rogol, bunuh, murtad dan rompakan bersenjata boleh dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang syariah versi Arab Saudi yang ketat.

Selain Timur Tengah, Indonesia juga menghantar pekerja domestik ke banyak negara Asia, termasuk Singapura, Hong Kong dan Malaysia, dan sering menerima aduan mengenai layanan diterima pekerja di luar negara.

Seorang wanita Hong Kong dipenjara enam tahun kerana memukul dan membiarkan pembantu rumahnya kelaparan serta mengurungnya, dalam kes berprofil tinggi yang menarik perhatian mengenai penderaan pembantu rumah di hab kewangan itu. – AFP, 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen