PAKATAN Harapan (PH) sukar menembusi Kelantan seperti mana dialami Barisan Nasional (BN) kerana sentimen yang kuat menolak Dr Mahathir Mohamad dan DAP.
Rata-rata pengundi Kelantan yang ditemui The Malaysian Insight berpendapat perkara ini adalah kesan daripada dasar kerajaan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama.
Mereka berpendapat, dasar berkenaan menekan negeri Kelantan dan meminggirkan warga negeri itu daripada mengecap pembangunan pesat seperti di negeri lain.
Antaranya Mahmud Ali, 77 yang turut menolak Dr. Mahathir kerana membawa agenda kebangsaan dan bukannya Islam. Beliau juga menolak PH kerana isu seperti penganjuran pesta arak Oktoberfest.
“Di Kelantan ini ada sentimen tidak suka Dr. Mahathir, benci belaka. Nabi tidak jual kebangsaan, nabi tidak terima dan mengaku umat orang yang jual kebangsaan.
“Mahathir dulu duduk dalam Umno habis semua dia sekat, royalti minyak pun tidak dapat. Sekarang dalam Pakatan, samalah tetapi lebih teruk sebab tolak Islam.
“Lepas jadi kerajaan, mereka buat pesta arak, suka tak kita orang Islam ini? Tidak sukalah jadi buat apa kita hendak sokong orang yang macam ini,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa.

Dalam pilihan raya umum Mei lalu, PH tewas teruk di Kelantan apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada 59 kerusi – 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN.
Malah, 47 calon PH hilang wang deposit termasuk Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang diletakkan sebagai calon utama untuk PH merampas Kelantan.
Seorang lagi pengundi, Pak Mat Bakar, 69, ketika ditemui berkata Nik Omar ditolak kerana disebabkan perjuangan politiknya tidak sealiran dengan ayahnya Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperjuangkan Islam.
Nik Aziz juga seteru kepada Dr Mahathir, katanya yang tidak melihat sumbangan perdana menteri itu dalam membangunkan Islam.
Malah Nik Omar juga ditolak kerana berkeras untuk menjadi calon PH sehingga digelar anak derhaka oleh ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak, katanya.
Menurut Pak Mat lagi, ia turut memberi tempias kepada calon lain PH yang dilihat mempergunakan Nik Omar untuk kepentingan politik mereka.

“Nik Omar cakap di luar sana Kelantan boleh menang tetapi di Kelantan ini orang tidak suka pun dia. Ibu dia sendiri lebih kurang kata ‘tidak mengaku anak’, ‘anak derhaka’.
“Kita dengar orang masjid cakap ibunya kata anaknya ada sembilan, mati dah seorang. Marah betul ibunya sebab berjuang tidak ikut dasar ayahnya. Ikut PH tolak Islam, jadi macam itulah. Kita pakat tolak habislah.
“Nik Omar tinggalkan apa yang diperjuangkan oleh ayahnya dahulu, arwah Nik Aziz. Dia berkawan dengan orang yang tolak Islam,” katanya ketika ditemui di Pulau Melaka yang terletak dalam DUN Chempaka.
Nik Omar hilang wang deposit apabila hanya menerima 2,418 undi sahaja berbanding dua lagi lawannya – Ahmad Fathan Mahmood dari PAS yang mendapat 10,549 dan calon BN Mohd Fareez Noor Amran yang mendapat 7,075 undi.
Seorang lagi pengundi, Rohani pula berkata, mereka turut menolak parti serpihan PAS, Amanah walapun parti itu membawa imej Islam.
Pengundi tidak memberi peluang kepada Amanah kerana hubungan baik parti itu dengan DAP yang dilihatnya jelas menolak Islam.
“PAS bergaduh dengan DAP sebab DAP tolak Islam. Bila PAS hendak buat hukum hudud, puak-puak DAP sindir kita, hina kita kalau salah potong tangan.
“(Sebab) itu Amanah semua kena tolak,” katanya ketika ditemui di Tumpat. – 1 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Puzy Said · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Lee Lee · Ulasan