Lebih 1,500 mayat ditemui dalam kubur besar di Syria


Serangan udara tentera gabungan ke atas Raqqa telah memusnahkan 85 peratus ibu kota wilayah itu. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2018.

LEBIH 1,500 mayat orang awam telah ditemui dalam sebuah kubur besar dalam wilayah Raqqa di utara Syria, yang merupakan bekas ibu kota pemerintahan de facto kumpulan militan Daesh, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan akhbar pro-kerajaan al-Watan pada Rabu.

Memetik sumber perubatan, akhbar itu melaporkan bahawa mayat terbabit merupakan orang awam yang terbunuh dalam serangan udara gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat ke atas Raqqa.

Akhbar itu menyebut mayat sejumlah 4,000 orang awam telah ditemui setakat ini dalam beberapa kubur besar di Raqqa, sambil menambah bahawa lebih banyak mayat dikesan setiap hari.

Gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat telah menyokong Pasukan Demokratik Syria yang diketuai Kurdish dalam usaha mereka untuk menawan Raqqa pada 2017.

Mengikut laporan akhbar itu serangan udara tentera gabungan ke atas Raqqa telah memusnahkan 85 peratus ibu kota wilayah Raqqa. – Bernama, 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen