Najib boleh beritahu cara bayar hutang RM1 trilion, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan

Perdana Menteri DR Mahathir Mohamad menyindir Najib Razak dan berkata bekas perdana menteri itu sepatutnya memberitahu kerajaan cara untuk menyelesaikan hutang RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Oktober, 2018.

DR Mahathir Mohamad memulangkan paku buah keras kepada Najib Razak yang giat menekan kerajaan untuk mencari jalan menyelamatkan ekonomi.

Dengan nada menyindir, Dr Mahathir berkata Najib sepatutnya memberitahu kerajaan cara untuk menyelesaikan hutang RM1 trilion yang ditinggalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional.

“Saya mahu jadi seperti beliau (Najib) pinjam RM1 trilion dan kemudian berjaya bayar semua hutang bertrilion ringgit itu.

“Jika dia boleh beritahu saya bagaimana (untuk menyelesaikannya), contohnya seperti pulangkan semula wang tersebut yang beliau sembunyikan, kemudian kita akan bayar hutang kita (negara),” katanya.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Najib melalui siaran video di Facebook semalam yang mendesak kerajaan supaya berhenti menyalahkan beliau atas masalah yang dihadapi negara.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata Putrajaya sepatutnya lebih fokus kepada mencari jalan untuk “menyelamatkan ekonomi negara”. 

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita di Menara MITI, Kuala Lumpur selepas melancarkan Polisi Negara: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Najib pada malam tadi antara lain menyebut, negara mencatat pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.524% sepanjang sembilan tahun beliau menjadi perdana menteri.

Pentadbiran Dr Mahathir pula sebaik mengambil alih pentadbiran Putrajaya mendedahkan negara menanggung hutang mencecah RM1 trilion dan bukan hanya RM300 bilion seperti dinyatakan kerajaan terdahulu. – 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen