Rangka manusia di premis Vatican mungkin petunjuk misteri 1983


Rangka manusia ditemui di sebuah premis milik Vatican dan berpotensi membawa kepada siasatan antara misteri paling gelap di Itali. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2018.

SEJUMLAH rangka manusia ditemui di sebuah premis milik Vatican dan berpotensi membawa kepada siasatan antara misteri paling gelap di Itali.

“Semasa kerja-kerja membaik pulih kawasan yang bersambung dengan pejabat ‘Apostolic Nunciature’ Itali, beberapa bahagian tulang manusia dijumpai,” kata Vatican dalam satu kenyataan, merujuk kepada pejabat diplomatik di Holy See di Rom.

Siasatan polis sedang dilakukan untuk mengenal pasti jantina, usia dan tarikh kematian.

Media melaporkan kesemua rangka itu ditemui Isnin lalu.

Pegawai penyiasat sedang menyiasat adakah semua rangka itu memiliki DNA yang berpadanan dengan Emanuela Orlandi atau Mirella Gregori, kedua-duanya masih di bawah umur ketika dilaporkan hilang pada waktu berasingan di Rom pada 1983.

Orlandi adalah anak perempuan kepada anggota polis Vatican dan kali akhir dilihat pada 22 Jun, 1983 ketika keluar dari kelas muzik.

Teorinya ialah remaja berusia 15 tahun itu diculik oleh satu pertubuhan jenayah terancang untuk memberi tekanan kepada pengurusan Vatican, manakala satu lagi dakwaan menyatakan mangsa dibawa untuk memaksa pembebasan Mehmet Ali Agca, seorang rakyat Turki yang cuba membunuh Paus Jean Paul II pada 1981.

Abang mangsa, Pietro sebelum ini melancarkan kempen selama berpuluh tahun untuk mengetahui kejadian sebenar yang menimpa adiknya dan menuduh Vatican hanya berdiam diri serta turut bersubahat dalam kes itu.

Sementara itu Gregori pula hilang genap 40 hari sebelum Orlandi dan kali terakhir dilihat menjawab interkom rumahnya sebelum memberitahu ia panggilan dari seorang rakan sekolah yang mahu berjumpanya. Gadis remaja itu kemudian tidak pernah pulang lagi. – AFP, 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen