Pesawat Lion Air diminta henti operasi sebelum diaudit 


Pesawat JT-610 Lion Air terhempas sejurus berlepas daripada Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.– Gambar EPA, 31 Oktober, 2018

AUDIT menyeluruh perlu dilakukan terhadap Lion Air berikutan nahas membabitkan pesawat JT-610, kata ahli Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia Ridwan Bae. 

Menurutnya, hanya pesawat yang diluluskan untuk melakukan penerbangan sahaja dibenarkan berbuat demikian. 

Ini berikutan terdapat keraguan berhubung keadaan pesawat berkenaan yang dinasihatkan agar tidak melakukan penerbangan. 

“Saya berpendapat sebaiknya audit dibuat secara menyeluruh. Dan selepas proses audit, hentikan penerbangan secara menyeluruh dan hanya yang dibenarkan sahaja boleh melakukan penerbangan. 

“Mana-mana pesawat yang diragui keadaannya perlu dihentikan penerbangan,” katanya memetik laporan CNN.

Berhubung kemungkinan nahas berpunca daripada kelalaian, Ridwan berkata pesawat berkenaan masih dikira baru. 

“Ia baru dua bulan beroperasi di Indonesia, itu yang mengejutkan ramai pihak,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terbukti terdapat kelalaian, siasatan perlu dijalankan terhadap pihak terlibat termasuk pihak kerajaan. 

“Jika terbukti (berlaku pelanggaran) tindakan prlu diambil. Jika penerbangan ini membawa kerugian kepada masyarakat, maka ia perlu disekat. Ini soal keselamatan rakyat Indonesia,” katanya. 

Terdahulu Presiden dan CEO Kumpulan Lion Air Edward Sirait berkata, pesawat JT-610 diterima syarikat itu pada 13 Ogos lalu dan melakukan penerbangan komersil pertamanya paa 15 Ogos. 

Menurut Edward, pesawat berkenaan merupakan antara keluaran terbaharu Boeing model 737 max.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung punca nahas terbabit dan berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pasukan penyiasat. 

“Kita tidak mahu timbulkan spekulasi. Ada pihak terbabit yang akan menjalankan siasatan, kita sedia memberi kerjasama,” katanya.

Pesawat malang itu terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.33 pagi sejurus selepas berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada pukul 6.20 pagi.

Pesawat terbabit yang membawa dua juruterbang, enam kru dan 181 penumpang termasuk tiga kanak-kanak, disahkan terhempas di Laut Jawa, tujuh batu nautika ke utara pantai Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

Berikutan nahas itu, Australia turut mengeluarkan arahan kepada pegawai dan kakitangan kerajaannya agar tidak menggunakan perkhidmatan Lion Air. 

“Susulan nahas pesawat Lion Air pada 29 Oktober 2018, pegawai kerajaan Australia dan kontraktor diarah tidak menaiki penerbangan syarikat itu.

“Keputusan akan dinilai semula apabila siasatan berhubung kemalangan itu sudah jelas,” menurut kenyataan di laman web Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia. – 31 Oktober, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen