Mattis gesa gencatan senjata di Yaman dalam masa '30 hari'


Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis mahu kesemua pihak terbabit dalam konflik itu menyelesaikannya di meja rundingan. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2018

SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis pada Selasa menggesa gencatan senjata di Yaman dan pihak terlibat ke meja rundingan dalam tempoh 30 hari akan datang. 

Ketua Pentagon itu berkata, AS sudah “cukup lama” memerhati konflik yang berlaku dan berkata beliau percaya Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, yang berada dalam pakatan yang disokong AS untuk menentang pemberontak Huthi sedia untuk berunding. 

“Kita perlu bergerak ke arah usaha damai, dan kita tidak boleh mengatakan yang kita akan melakukannya pada masa akan datang,” kata Mattis di Institut Keamanan di Washington. 

“Kita perlu lakukan perkara ini dalam 30 hari akan datang.”

Katanya, AS menggesa semua pihak terlibat untuk mengadakan pertemuan dengan delegasi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Martin Griffiths di Sweden pada November dan “mencari penyelesaian”.

Arab Saudi dan sekutunya campur tangan dalam konflik antara Presiden Yaman Abedrabbo Mansour Hadi, yang kerajaannya diiktiraf oleh PBB, dan pemberontak Huthi pada 2015. 

Hampir 10,000 orang terbunuh sejak itu dan negara berkenaan kini diancam kebuluran. 

AS berdepan kritikan antarabangsa kerana peranannya menyokong pakatan yang diketuai Arab Saudi, terutamanya selepas beberapa siri serangan udara yang menyebabkan ramai orang awam terbunuh. – AFP, 31 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen