SETELAH bertahun-tahun tercicir dari pembangunan, warga Kelantan yang ditadbir PAS tidak yakin jika kerajaan baharu di Putrajaya akan membela nasib mereka.
Kebanyakan warganya yang ditemui The Malaysian Insight nyata selesa dengan parti itu walaupun pembangunan di negeri masih jauh dari tahap yang diinginkan.
Ini memandangkan kerajaan persekutuan sengaja menganaktirikan Kelantan dan menyekat bantuan yang sepatutnya diterima, kata seorang pengundi, Rohani, 47.
Rohani menetap di Kota Bharu memberi contoh, sekatan itu boleh dilihat melalui hasil minyak dari telaga dalam perairan negeri yang didaratkan di Thailand.
“Kalau dia buat di Kelantan, banyaklah peluang pekerjaan. Tetapi kerajaan pusat bawa lari minyak turunkan di Thailand. Macam mana hendak ada peluang kerja.
“Kerajaan pusat anak tirikan Kelantan. Tidak beri kerjasama. Lepas itu kata Kelantan mundur. Memang mundurlah kalau kerajaan pusat buat macam itu,” katanya.
Hasil petroleum itu dalam Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan Kawasan Pengaturan Komersil di antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA).

Telaga minyak tersebut tidak jauh dari Kelantan namun kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mendaratkan minyak tersebut di Kerteh Terengganu dan Songkhla di Thailand.
“Kami tidak peduli siapa yang tadbir kerajaan pusat tetapi Kelantan ini biarlah PAS yang jaga. Susah bila lama diabaikan sampai kami tidak rasa atau hendak harap apa-apa daripada kerajaan pusat.
“Kebajikan untuk orang Kelantan, PAS jaga. Kerajaan Kelantan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat banyak bantu bulanan kepada rakyat Kelantan, cukuplah untuk orang tua-tua, orang susah,” tambah Rohani.
Seorang lagi pengundi, broker emas yang mesra dipanggil Kak Dah pula memilih PAS untuk terus menjadi kerajaan kerana tidak mahu pembangunan pesat merosakkan rakyat Kelantan terutamanya anak muda.
“Kerajaan Kelantan sahaja tidak mampu untuk buat pembangunan tanpa bantuan daripada kerajaan Pusat. Tetapi kita duduk sini yang kita suka dengan kerajaan Kelantan ini sebab kita tidak ada masalah.
“Kalau dekat luar orang jual arak berleluasa, sini tidak ada. Panggung wayang pun tidak ada. Pembangunan macam itu kita tidak mahu.
“Kalau masuk panggung nanti tahu-tahu buang anak tepi longkang sebab terlalu bebas. Kita tidak mahu jadi macam itu,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Tumpat.
Dalam pilihan raya umum Mei lalu, PAS berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu dengan memenangi 37 daripada 45 kerusi Dun. Lapan kerusi lagi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pencapaian PAS itu lebih baik daripada keputusan PRU13 di mana PAS menang 32 kerusi Dun diikuti BN 12 kerusi dan PKR satu kerusi.
Dalam PRU14, timbul sempadan yang jelas di antara penyokong BN dan PAS. Pengaruh BN bertumpu di luar bandar yang mahukan pembangunan manakala sokongan PAS kuat di bandar dan pinggir bandar.

Semua lapan kerusi DUN yang dimenangi BN terletak di luar bandar dan pedalaman iaitu DUN Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Air Lanas, Kuala Balah, Nenggiri, Paloh dan Galas.
Ia adalah hasil tumpuan parti itu ke kawasan hulu Kelantan melalui agensi seperti Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Melalui dua agensi tersebut, kerajaan persekutuan pimpinan BN membuka tanah rancangan di Gua Musang dan Jeli yang menyebabkan kebergantungan rakyat di kawasan tersebut kepada Umno sangat tinggi.
Namun kini selepas BN hilang kuasa, warganya di situ tidak lagi menaruh harapan tinggi dalam kemajuan di negeri itu.
Apatah lagi apabila kerajaan baharu menangguhkan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata seorang pembekal makanan, Mohd Yusri Mohd Yusoff, 30.
Katanya, beliau mengharapkan projek itu untuk mengembangkan perniagaannya di selatan semenanjung seperti Johor.
“Kita pernah cuba bawa ke Pengerang. Kita bertolak jam 5 petang, dekat tengah hari (keesokannya) baru sampai. Seminggu sahaja bertahan sebab tidak larat, jauh sangat perjalanan,” katanya yang menetap di Pasir Mas.
Turut meluahkan kerisauan, seorang penoreh getah, Abdullah Yunus, 48 di Gua Musang. Beliau tidak tahu kepada siapa untuk bergantung selepas kerajaan baharu mengambil alih Putrajaya.
Beliau berharap kerajaan dapat mencari kaedah untuk membantu masyarakat kampung sepertinya meningkatkan pendapatan mereka memandangkan harga getah kini sangat rendah – RM2.20 sekilo.
“Barang mahal kita tidak takut, yang kita takut kerja tidak ada. Kita tidak marah kerajaan naik barang semua tetapi gaji orang kampung itu biar naiklah,” katanya.
Harga komoditi itu perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM4, kata Abdullah.
“Di luar sana banyak kerja. Kalau sini cuma ada pokok getah, boleh menoreh sajalah, mana ada kerja lain,” katanya. – 31 Oktober, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan