Polis mati ditikam suspek IS di Turki


Turki seringkali menjadi sasaran IS yang menakluk kawasan sempadan negara itu dengan Syria dan Iraq. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2017.

SEORANG anggota polis mati ditikam seorang suspek militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) yang ditahan kerana merancang serangan berani mati semalam, lapor media Turki.

Suspek itu menikam anggota itu pada jam 11 malam waktu tempatan ketika dia sedang dibawa naik ke sebuah kereta peronda berhampiran stesyen polis selepas ditahan, menurut agensi berita Dogan.

Penyerang itu yang ditahan kerana disyaki merancang satu serangan berani mati kemudiannya ditembak mati polis, kata agensi berita Anadolu.

Anggota polis itu yang dikejarkan ke hospital, disahkan terbunuh dalam ambulan kerana kecederaan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana suspek itu boleh menyimpan pisau tersebut ketika ditahan.

Pada 2016, Turki beberapa kali diserang yang menyebabkan ratusan terbunuh dalam siri serangan pengganas terburuk di negara itu.

Serangan itu dipertanggungjawabkan kepada IS yang menakluk kawasan sempadan negara itu berhampiran Syria dan Iraq selain ahli Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan kerajaan.

Bulan lepas, pasukan anti pencegahan keganasan di Istanbul menahan beberapa ahli IS yang dikatakan sedang merancang untuk melakukan serangan besar-besaran di Turki.

Serangan terakhir yang menyebabkan 39 orang terbunuh, kebanyakkannya warga asing berlaku di sebuah kelab malam elit di Istanbul pada malam tahun baru 2017.

Sejak itu, tiada serangan sedahsyat itu berulang tetapi kawalan keselamatan di bandar besar Turki itu masih diletakkan pada tahap tertinggi. – AFP, 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen