Wartawan antara korban serangan pemberontak di tengah India


Gambar fail bertarikh 9 Jun 2015 menunjukkan 12 pemberontak Maoist terbunuh dalam pertempuran dengan polis di Palamu, Jharkhand, India. – Gambar fail EPA, 30 Oktober, 2018.

SEORANG wartawan dan dua anggota keselamatan terbunuh pada Selasa dalam satu serangan oleh sekumpulan pemberontak bersenjata, Naxals, di negeri Chhattisgarh yang terletak di India tengah.

Menurut agensi berita China Xinhua, wartawan video yang maut, Achyutanand Sahu, berada di daerah Dantewada untuk membuat liputan pilihan raya negeri yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 20 November.

Wartawan itu bertugas di stesen penyiar milik negara, TV Doordarshan, manakala anggota keselamatan terbabit dikenal pasti sebagai Sub Inspektor Rudra Pratap dan Pembantu Konstabel Mangalu dari Pasukan Polis Simpanan Pusat.

Chhattisgarh adalah antara lima negeri yang mengadakan pengundian dalam tempoh dua bulan akan datang. 

Seorang pegawai kanan di TV Doordarshan memaklumkan Xinhua bahawa korespondennya, Dheeraj Kumar dan pembantu bahagian pencahayaan, Mormukt Sharma, bernasib baik kerana berjaya memboloskan diri tanpa sebarang kecederaan ketika serangan itu berlaku. – Bernama, 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen