Proses pelarian Rohingya kembali ke Myanmar bermula bulan depan


Sebahagian daripada ribuan etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh berikutan kerahan tentera Myanmar ke negeri itu dan ancaman masyarakat Buddha setempat. – Gambar fail EPA, 30 Oktober, 2018.

BANGLADESH dan Myanmar hari ini bersetuju untuk memulakan proses pemulangan pelarian Rohingya pada November, kurang seminggu selepas siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti Islam itu masih berlaku.

Lebih 720,000 penduduk Rohingya melarikan diri susulan operasi ketenteraan pada Ogos tahun lalu, dan berlindung di kem pelarian di Bangladesh.

Laporan siasatan PBB berkata pegawai tentera Myanmar perlu dihukum atas jenayah pembunuhan beramai-ramai di Rakhine tetapi negara itu menolak gesaaan tersebut dengan alasan mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman militan.

Myanmar dan Bangladesh mengumumkan proses pemulangan semula pada November 2017 tetapi proses itu gagal dilaksanakan ekoran masalah birokratik dan kedua-dua pihak saling menuding jari atas konflik tersebut.

Pihak berkuasa Myanmar berkata lebih 100 pelarian Rohingya kembali ke kampung mereka sejak beberapa bulan lalu, tetapi Bangladesh mendakwa proses itu belum berjalan secara rasmi.

Kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan untuk menerima kembali pelarian Rohingya tetapi kumpulan hak asasi mempersoalkan sama ada pelarian itu akan kembali secara sukarela.

Kebanyakan pelarian Rohingya bimbang untuk kembali ke Myanmar tanpa jaminan mendapat kerakyatan, akses kesihatan dan kebebasan bergerak.

Ia merupakan hak yang dinafikan sejak sekian lama sebelum konflik tercetus pada tahun lepas. – AFP, 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen