PAC tangguh siasatan 1MDB atas nasihat Peguam Negara


Pengerusi PAC Ronald Kiandee mengulas keputusan untuk menangguhkan siasatan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

JAWATANKUASA  Kira-Kira Wang Negara (PAC) menangguhkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh atas nasihat Pejabat Peguam Negara untuk berbuat demikian.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee berkata beliau menerima sepucuk surat daripada Peguam Negara Tommy Thomas pada 25 Oktober lalu untuk menangguhkan prosiding berkaitan syarikat 1MDB.

“Saya menerima surat daripada Thomas yang memberi pandangan kepada PAC supaya menangguhkan sine die prosiding berkaitan dengan syarikat 1MDB.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli-Ahli PAC Parlimen, saya serta beberapa ahli-ahli PAC mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof untuk memaklumkan mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Hasil perbincangan itu katanya, PAC akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara secepat mungkin bagi membincangkan perkara mengenai penangguhan berkenaan dengan lebih lanjut.

Semalam, Kiandee mengumumkan siasatan 1MDB akan ditangguhkan sehingga tarikh baharu dan sepatutnya siasatan dimulakan ke atas bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Kiandee berkata laporan berasingan berhubung kehilangan wang tuntutan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) juga ditangguh sehingga November. 

Siasatan itu melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang sepatutnya memberikan keterangan esok.  – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen