Bekas pengerusi PAC nafi pinda laporan audit 1MDB


Yasmin Ramlan

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin berkata pindaan tersebut tidak berlaku sewaktu beliau memegang jawatan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018

BEKAS pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin sekali lagi menafikan bahawa beliau meminda laporan Jabatan Audit Negara berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hasan berkata, pindaan tersebut tidak berlaku sewaktu beliau memegang jawatan pengerusi jawatankuasa itu.

“Itu bukan masa saya (pegang jawatan pengerusi). Saya pun tak tahu apa sebenarnya (terjadi). Apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh timbalan pengerusi PAC?

“Setahu saya, apa yang dibentangkan, itulah yang dibentangkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menafikan perkara itu sekali lagi, susulan dakwaan baharu oleh timbalan pengerusi PAC Wong Kah Woh bahawa beliau bertanggungjawab meminda maklumat tersebut.

Pada Ogos lalu, beliau telahpun menafikan bahawa beliau meminda fakta dalam dalam laporan Jabatan Audit Negara itu.

Hasan menafikan perkara itu susulan satu usul di Dewan Rakyat untuk membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

Beliau didakwa meminda ayat dalam laporan yang menimbulkan persoalan mengenai pemilik sebenar Good Star Limited.

Syarikat berkenaan didakwa menerima sebayak AS$1.03 bilion secara terus daripada 1MDB.

Dalam penjelasan hari ini, Hasan berkata beliau tidak pasti mengenai dakwaan meminda maklumat tersebut dan meminta pengerusi sedia ada, Ronald Kiandee untuk menjelaskannya.

“Itu saya tak pasti. Dakwaan itu tidak dijelaskan dengan betul. Kita minta pengerusi PAC untuk jelaskan.

“Pada saya, saya tak tahu benda itu. Apa yang dibentangkan kepada kita, itulah yang kita dapat daripada Ketua Audit Negara,” katanya. – 30 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen