KESEMUA 189 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat Lion Air Indonesia yang terhempas semalam dikhuatiri terbunuh dalam kemalangan itu, kata pegawai penyelamat pada Isnin, ketika mereka mengumumkan menemui mayat manusia dan akan meneruskan pencarian sepanjang malam.
Boeing-737 MAX, yang sudah diselenggara beberapa bulan lalu, hilang dari radar 13 minit selepas berlepas dari Jakarta, menjunam ke Laut Jawa selepas meminta izin untuk berpatah semula.
Kelajuan penerbangan JT 610 melonjak apabila ia hilang altitud beberapa minit sebelum tiba-tiba hilang, menurut laman web pengesan penerbangan, dengan pihak berkuasa mengatakan saksi melihat ia terjunam ke dalam air.
“Mayat mangsa yang ditemui tidak lagi sempurna dan sudah berjam-jam operasi dijalankan, kemungkinan 189 orang sudah terkorban,” kata pengarah operasi agensi pencarian dan penyelamat Bambang Suryo Aji kepada wartawan.
Seramai 40 orang penyelam bertugas daripada kira-kira 150 kakitangan di tempat kejadian, kata pihak berkuasa, dengan bangkai pesawat dianggarkan berada 30 hingga 40 meter di dalam air.
Terdahulu, rakaman video yang difilemkan di tempat kejadian menunjukkan lapisan minyak di permukaan air dan gambar menunjukkan apa yang kelihatan sebagai pintu kecemasan dan serpihan yang terdapat logo Lion Air.

Syarikat penerbangan mengakui pesawat itu sebelum ini dibaiki bagi sebab yang tidak dinyatakan.
“Ia benar-benar misteri dengan apa yang mungkin berlaku,” kata Greg Waldron, pengurus penerbitan industri Flightglobal Asia.
Pesawat itu dalam perjalanan ke bandaraya Pangkal Pinang, ketika ia tidak dapat dihubungi pada kira-kira jam 6.30 pagi (2330 GMT).
Bekas pelumba profesional Andrea Manfredi adalah seorang penumpang dalam penerbangan itu, kata kementerian luar Itali itu.
Rakaman dari lapangan terbang utama di Pangkal Pinang menunjukkan keluarga penumpang menangis dan berpelukan.
“Pagi ini beliau menelefon bertanya tentang anak bongsu kami,” kata Ermayati yang menangis, merujuk kepada suaminya Muhammed Syafii yang berusia 45 tahun.
Terdapat 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi, dua juruterbang dan enam anak kabin di dalam penerbangan, menurut Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (NTSC).
Terlepas penerbangan kerana jalan sesak
Kira-kira 20 pekerja kementerian kewangan berada di dalam pesawat termasuk rakan Sony Setiawan, yang terlepas penerbangan yang dinaikinya setiap minggu disebabkan kesesakan lalu lintas.
“Saya tahu rakan saya berada di penerbangan itu,” katanya kepada AFP.
Setiawan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai nasib baiknya selepas tiba di Pangkal Pinang dengan menaiki penerbangan lain.
“Keluarga saya terkejut dan ibu menangis, tetapi saya memberitahu mereka saya selamat, jadi saya seharusnya bersyukur.”
Lion Air berkata pesawat itu baharu sahaja beroperasi pada Ogos.
Juruterbang dan pembantunya mempunyai lebih 11,000 jam waktu penerbangan dan menjalani pemeriksaan perubatan serta ujian dadah baru-baru ini.
Ketua Penerbangan Lion Air, Edward Sirait, berkata pesawat itu mempunyai masalah teknikal di Bali sebelum terbang kembali ke Jakarta.
“Jurutera di Jakarta menerima maklumat dan melakukan pembaikan lain sebelum ia berlepas” pada Isnin, Sirait memberitahu AFP, menyebutnya sebagai “prosedur biasa”.

Rekod keselamatan yang buruk
Boeing yang berpangkalan di Amerika berkata ia “sangat sedih” dengan berita kemalangan itu.
Boeing dilaporkan menggantung pelepasan 737 MAX hanya beberapa hari selepas penerbangan komersilnya yang pertama tahun lepas disebabkan masalah enjin, menurut laman web keselamatan penerbangan dan ulasan di laman web airlineratings.com.
Ia berkata enjin itu merupakan produk usaha sama antara syarikat AS-Perancis iaitu General Electric dan Safran Aircraft Engines yang berpangkalan di AS.
Awal tahun ini, Lion Air mengumumkan ia membeli 50 Boeing 737 MAX 10 jet dengan harga AS$6.24 bilion.
Industri penerbangan udara Indonesia sedang berkembang pesat, dengan bilangan penumpang domestik berkembang pesat sejak sedekad lalu, namun ia mempunyai reputasi buruk dan syarikat penerbangannya sebelum ini dilarang dari ruang udara AS dan Eropah.
Pada Ogos 2015, sebuah pesawat penumpang komersial yang dikendalikan oleh kapal induk Indonesia Trigana terhempas di Papua akibat cuaca buruk, membunuh kesemua 54 orang.
Setahun sebelum itu, penyelenggaraan yang buruk dan respons juruterbang dipersalahkan susulan nahas pesawat AirAsia yang mengorbankan 162 nyawa.
Lion, sebuah syarikat penerbangan murah yang berkembang beberapa tahun kebelakangan ini, terlibat dalam beberapa insiden termasuk kemalangan maut 2004 dan perlanggaran di antara dua pesawat Lion Air di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta. – AFP, 30 Oktober, 2018.
Komen