PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin merasmikan pembukaan lapangan terbang antarabangsa terbaharu di Istanbul, didakwa sebagai terbesar di dunia.
“Lapangan terbang baru ini akan menjadi kebanggaan negara kita dan contoh kepada dunia,” kata Erdogan semasa upacara pembukaan mewah yang turut dihadiri beberapa ketua negara.
Pada perasmian - yang bertepatan dengan ulang tahun ke-95 penubuhan Turki moden oleh Mustafa Kemal Ataturk - Erdogan juga mendedahkan lapangan terbang itu akan dinamakan “Istanbul”.
“Istanbul bukan sahaja bandar terbesar kita tetapi juga jenama paling berharga di negara kita,” katanya.
Lapangan terbang itu, satu daripada beberapa projek mega yang dibina di bawah pemerintahan Erdogan, akan digunakan digunakan sepenuhnya tahun depan selepas pembinaan terjejas dengan kelewatan dan mogok pekerja terhadap keadaan yang buruk.
Projek bernilai 10.5 bilion euro (AS$12 bilion) itu adalah sebagai usaha menjadikan Istanbul sebagai hab perjalanan global yang menghubungkan Eropah, Asia dan Afrika dan menjadikan syarikat penerbangan Turki sebagai syarikat gergasi penerbangan.
Bagaimanapun, lapangan terbang itu hanya akan menawarkan penerbangan ke lima destinasi sehingga ditambah pada 29 Disember dan dijangka mengendalikan sehingga 90 juta penumpang setahun, meningkat kepada 200 juta apabila semua kemudahan siap pada 2028.
Itu hampir dua kali ganda jumlah 103.9 juta penumpang yang menggunakan lapangan terbang tersibuk di dunia, Hartsfield-Jackson di bandar Atlanta, Amerika Syarikat.
Majlis pembukaan itu dihadiri oleh beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri Bulgaria Boyko Borisov dan Presiden Sudan Omar al-Bashir, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan genosida dan jenayah perang.
Penerbangan pertama dari fasiliti baharu itu akan ke ibu kota Ankara pada Rabu. – AFP, 30 Oktober, 2018.
Komen