Pendakwa raya Saudi bertemu rakan sejawat di Istanbul


Wartawan Arab Saudi yang lantang mengkritik keluarga diraja Arab Saudi dilaporkan hilang di konsulat negara itu di Turki. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2018

PENDAKWA raya Arab Saudi pada Isnin bertemu dengan ketua pendakwaan Turki di Istanbul berhubung kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Sheikh Saud al-Mojeb telah berbincang dengan Ketua Pendakwa Umum Istanbul, Irfan Fidan, mengenai butiran siasatan kes kematian Khashoggi yang sedang dijalankan, lapor Agensi Berita  Anadolu.

Khashoggi dilaporkan hilang sejak beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.

Riyadh mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulat tersebut dan 18 orang ditahan berhubung pembunuhannya hasil satu siasatan dalaman terhadap kes itu.

Minggu lepas, pihak pendakwaan Turki memohon perintah ekstradisi terhadap suspek untuk dibicarakan di Turki manakala pihak Arab Saudi berkata mereka akan didakwa di Arab Saudi.

Polis Turki dan para penyiasat lokasi jenayah telah menggeledah konsulat Arab Saudi, kediaman konsul jeneralnya serta sebuah kawasan hutan di Istanbul dalam usaha mengesan dan mencari mayat Khashoggi.

Al-Mojeb dilaporkan bakal menjalankan satu siasatan di konsulat Arab Saudi pada Isnin. – Bernama, 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen