JUMLAH kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada polis Korea Selatan telah meningkat sejak lima tahun lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik data agensi polisi negara itu pada Isnin.
Agensi Polisi Kebangsaan mendedahkan bahawa jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada 2017 ialah 279,082 iaitu meningkat sebanyak 74 peratus berbanding 160,272 kes pada 2013, kata Kang Chang-il daripada Parti Demokratik yang memerintah.
Jumlah tangkapan bagi kes keganasan rumah tangga meningkat lebih sekali ganda iaitu daripada 16,785 pada 2013 kepada 38,583 pada 2017.
Bagaimanapun, nisbah purata tangkapan bagi jumlah keseluruhan kes keganasan rumah tangga ialah hanya 13 peratus dalam tempoh lima tahun.
Sejumlah 1,159,159 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan kepada polis bagi tempoh 2013 hingga 2017.
Dalam satu kenyataan, Kang berkata kadar tangkapan adalah terlalu rendah dan langkah tertentu perlu diambil bagi memisah serta melindungi mangsa daripada pesalah kerana mangsa didapati enggan melaporkan insiden keganasan rumah tangga kepada polis kerana takut dengan tindakan balas pesalah. – Bernama, 29 Oktober, 2018.
Komen