KEMENTERIAN Kesihatan Iran hari ini mengumumkan sejumlah 84 orang meninggal dunia dan 1,000 yang lain masih dirawat akibat keracunan alkohol sejak enam minggu lalu, kata agensi berita ISNA.
Walaupun hukuman berat dijatuhkan terhadap pengambilan alkohol sejak revolusi Islam pada tahun 1979, minuman keras masih diseludup secara meluas di negara itu.
Kes keracunan alkohol itu pertama kali dilaporkan pada akhir bulan September dan kini dilihat merebak ke seluruh negara.
Jurucakap kementerian kesihatan, Iraj Harirchi, berkata 959 orang telah dirawat kerana keracunan, menggambarkan kes-kes tersebut adalah “sangat luar biasa”, menurut ISNA agensi separa kerajaan.
Selain 84 kematian, 305 dirawat kerana kerosakan buah pinggang dan 27 kes lagi mengalami kerosakan mata, katanya.
Harirchi berkata penyebab utama keracunan itu adalah penggunaan metanol toksik sebagai pengganti etanol yang wujud dalam sulingan alkohol yang betul.
“Ada yang ditahan ekoran kes ini dan orang ramai perlu tahu bahawa walaupun alkohol itu dibungkus dan ditutup dalam pakej luar negara dipalsukan,” kata Harirchi. – AFP, 29 Oktober, 2018.
Komen