LIMA pegawai polis Bulgaria cedera dalam keganasan yang meletus selepas pihak berkuasa cuba menghentikan lumba kuda yang tidak mendapat keizinan di kawasan kejiranan Roma, kata polis semalam.
Satu pergaduhan berlaku selepas polis mengambil langkah untuk menghentikan perlumbaan itu, yang didakwa oleh polis sebagai acara yang tidak mendapat keizinan dan dilihat berbahaya, di antara dua kampung berhampiran bandar Maglizh.
Ketua Polis Daerah, Georgy Hadzhiev, mengatakan sekitar 50 orang terlibat dalam keganasan itu, yang tercetus ketika para petugas cuba menangkap salah seorang penganjur.
Seorang pegawai polis dilaporkan digigit di bahagian lengan.
Empat lagi polis cedera apabila mereka dibaling batu ketika mereka cuba membuat penangkapan di kejiranan itu.
Hadzhiev berkata dua orang ditahan dan seorang lagi sedang dicari, sambil menambah bahawa “tidak ada orang yang tidak dapat disentuh. Polis mampu mengawal mana-mana kawasan”.
Diskriminasi terhadap Roma di Bulgaria, negara termiskin Kesatuan Eropah, telah meluas sejak kejatuhan komunisme pada tahun 1989, menjadikan mereka sangat terpinggir. – AFP, 29 Oktober, 2018.
Komen