Bantahan Abang Johari sama seperti 'penakut', kata Chong


Desmond Davidson

Ketua Pakatan Harapan (PH) dan DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata Abang Johari Openg penakut apabila membantah penubuhan dan komposisi jawatankuasa khas Kabinet bagi membincangkan ketidakpatuhan Perjanjian Malaysia 1963. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

KETUA Menteri Abang Johari Openg penakut apabila membantah penubuhan dan komposisi jawatankuasa khas Kabinet bagi membincangkan ketidakpatuhan Perjanjian Malaysia 1963, kata Ketua Pakatan Harapan (PH) dan DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

“Belum hadir mesyuarat pertama lagi sudah takut,” beliau memberitahu pemberita di Kuching hari ini.

Sembilan anggota jawatankuasa itu, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, adalah dari Semenanjung. Manakala tujuh lagi anggota adalah dari Sabah dan Sarawak.

Abang Johari membantah kerana perwakilan itu katanya tidak melambangkan tiga wilayah - Malaya, Sabah dan Sarawak - sebagai rakan kongsi yang setara dalam Persekutuan.

Ketua menteri Sarawak itu juga menyeru supaya jawatankuasa tersebut mencontohi Inter-Governmental Committee yang ditubuhkan British pada 1962 yang mengkaji dan merangka cadangan pembentukan Malaysia.

Chong berkata bilangan (dalam jawatankuasa) tidak penting kerana tiada undian akan dibuat.

“Semua masalah ini disebabkan sikap (mentaliti) pemimpin-pemimpin GPS (Gabungan Parti Sarawak).

“Mereka fikir pihak majoriti mesti iku cara mereka saama seperti yang berlkau dalam DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Mereka selalu fikir majoriti boleh buli minoriti. Apabila dia dalam minoriti, dia panik walaupun mesyuarat pertama belum diadakan.

“Dia takut,” kata timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) perniagaan di kawasannya di Kota Sentosa. – 29 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen