Mereka mahu cederakan Dr Mahathir, kata Pemuda Bersatu


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kekecohan di forum "Nothing to Hide 2.0" disyaki perbuatan sabotaj selepas kemeja-t Bersatu yang dipakai oleh suspek ditemui ditinggalkan di luar dewan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Ogos, 2017.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesyaki kekecohan yang berlaku ketika forum “Nothing to Hide 2.0” di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam petang tadi adalah perbuatan sabotaj.

Katanya, ini berdasarkan bukti beberapa helai kemeja-t Bersatu dipakai oleh suspek yang ditinggalkan di luar dewan.

“Wujud amalan sabotaj untuk mencederakan Dr Mahathir Mohamad. Kita lihat selepas soalan itu kasut, kerusi dan suar dicampak bukan ke belakang, kanan atau kiri tapi ke arah Tun.

“Ia amat mengecewakan dan jelas menunjukkan ia sudah dirancang kerana kita jumpa dua suar,” katanya.

Beliau juga mengesahkan Dr Mahathir tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, Pemuda Bersatu juga akan membuat laporan polis pada malam ini.

Forum yang dianjurkan Pemuda Bersatu itu adalah platform kepada Dr Mahathir dan Najib Razak berdebat tentang masalah yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Najib yang dijemput menghadiri program tersebut tidak hadir. – 13 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen