AS gesa presiden Sri Lanka segera 'pulihkan' Parlimen


Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena bertindak menggantung Parlimen selepas memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe pada Jumaat. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2018.

JABATAN Negara Amerika Syarikat pada Ahad menggesa presiden Sri Lanka membenarkan persidangan Parlimen segera untuk membenarkan anggotanya menghentikan krisis Perlembagaan yang bertukar ganas susulan pemecatan mengejut perdana menteri.

“Kami menggesa semua pihak bertahan daripada intimidasi dan keganasan,” kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert dalam satu kenyataan.

“Kami menyeru presiden, berunding dengan speaker, untuk segera memulihkan Parlimen dan membenarkan wakil rakyat Sri Lanka dipilih secara demokratik untuk memenuhi tanggungjawab mereka bagi menegaskan siapa yang akan memimpin kerajaan mereka.”

Presiden Maithripala Sirisena memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe pada Jumaat dan melantik Mahinda Rajapakse sebagai perdana menteri baru, yang mencetuskan kekacauan politik di negara Lautan Hindi itu.

Polis berkata seorang lelaki terbunuh dan dua cedera pada Ahad ketika pengawal Menteri Petroleum, Arjuna Ranatunga, seorang penyokong Wickremesinghe, melepaskan lima tembakan ketika orang ramai yang menyokong tindakan presiden Sri Lanka mengancam anggota Kabinet itu.

Wickremesinghe enggan mengosongkan kediaman rasmi perdana menteri sejak penyingkiran kontroversi itu, mengisytiharkan pemecatannya menyalahi undang-undang dan menuntut sidang kecemasan Parlimen untuk membuktikan beliau masih menguasai majoriti. – AFP, 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen