MENJELANG pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat ini, penoreh getah di hulu Kelantan antara golongan yang menunggu apakah kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan bantuan kewangan menangani kos sara hidup yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Hamzah Abdul Rahman, 72, penoreh getah di Gua Musang, Kelantan, khuatir kerajaan akan memotong atau menghentikan bantuan kewangan RM200 sebulan yang diberikan oleh kerajaan BN semasa musim tengkujuh antara November hingga Januari lalu.
“Sekarang ini tak tahulah, ada lagi tidak. Kita takut serupa dulu, tak beri langsung,” katanya, merujuk tahun-tahun ketika Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri kali pertama antara 1981 hingga 2003.
“Buruk-buruk Najib Razak dulu, rakyat macam kami merasa juga bantuan kerajaan. Masa Mahathir memerintah dulu kita tak rasa bantuan macam Najib (beri).
“Saya banyak rasa (bantuan kewangan pentadbiran Najib),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hamzah merujuk pada Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang diumumkan Najib dalam Bajet 2018. Bantuan itu bagi memastikan kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah terjamin sepanjang musim tengkujuh.
Ia melibatkan peruntukan RM261 juta untuk manfaat hampir 500,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara. Bantuan khusus tersasar mulai itu adalah tambahan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan pada 2012, bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
Sejak mengambil alih pentadbiran BN, kerajaan Pakatan melakukan beberapa langkah jimat cermat termasuk membatalkan projek pembangunan yang diluluskan sebelum pilihan raya umum 9 Mei.
Alasannya, kerajaan Pakatan kini menanggung beban hutang sehingga RM1 trilion antaranya kesan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan rakyat supaya sedia berkorban kerana kerajaan tidak akan lagi memberi bantuan kewangan dengan mudah seperti ketika BN memerintah dahulu.
Katanya, bantuan oleh pentadbiran Najib itu diberikan semata-mata untuk mendapat sokongan dan undi supaya mereka terus berkuasa.
Hamzah yang ditemui di Kampung Star di Gua Musang baru-baru ini bagaimanapun tergolong agak bernasib baik kerana memiliki kebun sendiri, berbanding mereka yang bergantung dengan menoreh.

Abdullah Yunus, 48, misalnya, mengambil upah menoreh yang kemudian dibahagi dua dengan pemilik kebun.
Bulan Oktober seperti ini, hanya beberapa hari sahaja Abdullah dapat menikmati hasil yang itu pun tidak seberapa. Selebihnya, beliau tidak menoreh kerana hujan.
Menurut Abdullah, harga getah yang rendah sekarang – hanya RM2.20 sekilo, berbanding lebih RM8 lebih kurang enam tahun lalu – tidak cukup untuk belanja dapur biarpun di Gua Musang.
“Kalau duduk di bandar, belanja dapur dengan hasil kita dapat memang tidak cukup. Di sini, pucuk paku, pucuk ubi tidak kena beli, ibaratnya macam itulah,” katanya, yang juga mengeluh tentang harga barang yang mahal di Gua Musang.
“Gua Musang ini tempat orang “paling kaya” sebab itu barang mahal. Kita tidak ada pilihan,” katanya.
Harga getah yang sekarang jatuh teruk sehingga lebih rendah daripada kos pengeluaran menyebabkan penoreh getah mendapat tidak lebih RM600 sebulan.
Ogos lalu, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) meminta kerajaan menetapkan harga lantai bagi getah sebanyak RM4 sekilogram. Harga itu dianggap munasabah memandangkan kos pengeluarannya sekarang mencecah RM3.20 sekilogram.
Sementara itu, Siti Fatimah Mohamad, 37, yang meniaga runcit secara kecil-kecilan di kampung itu juga risau kalau kerajaan baru ini tidak lagi meneruskan bantuan persekolahan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu.
“Dulu kerajaan tanggung. Nak buka sekolah beri RM100 seorang anak. Anak empat orang boleh dapat RM400, buat beli baju dan kasut sekolah,” katanya.
Selain itu, ada juga bantuan persekolahan RM200 melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), atau RM300 bagi mereka yang miskin tegar, katanya.
“Sekarang ini kita runsing tahun depan takut kena bayar yuran sekolah, takut buku teks kena bayar… sekarang ini percuma. Orang kampung runsing itulah.
“Suka atau tidak kena hantar anak pergi sekolah juga. Minta-minta tidak kena bayarlah,” katanya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Bajet 2019 pada Jumaat, 2 November ini. – 31 Oktober, 2018
Komen