SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh manakala ramai lagi dikhuatiri hilang selepas dua buah bas dirempuh runtuhan tanah menyebabkan ia terjatuh ke dalam gaung dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pergunungan utara India, kata pihak berkuasa.
Bas terbabit berhenti di kawasan berkenaan untuk berehat sekitar tengah malam Sabtu di Himachal Pradesh apabila bongkahan batu dan tanah menghanyutkan seluruh lebuhraya yang jaraknya 200 kilometer daripada Shimla.
Pasukan penyelamat bersama anggota tentera tiba di tempat kejadian terpaksa berdepan dengan kawasan gelap dan bentuk muka bumi curam.
Enam mayat berjaya ditemui setakat ini namun dikhuatiri masih ramai lagi yang hilang, kata pegawai kanan operasi itu Sandeep Kadam.
“Sebuah lagi bas dihanyutkan, 800 meter ke bawah tebing bukit yang curam. Kami tidak pasti berapa ramai penumpang dalam bas ini,” katanya kepada AFP.
Media The Press Trust of India melaporkan 30 orang dikhuatiri maut dalam tragedi itu, manakala media lain turut melaporkan angka kematian itu mungkin meningkat.
Beberapa rumah di kawasan setinggan di situ turut musnah selepas hujan lelabt melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu. – AFP, 13 Ogos, 2017.
Komen