Pemain Korea Selatan mengaku palsukan dokumen elak latihan tentera


SEORANG pemain bola sepak Korea Selatan digugurkan skuad kebangsaan selepas mengaku bersalah memalsukan rekod perkhidmatan masyarakat bagi mengelakkan diri terlibat dalam latihan ketenteraan.

Hampir semua lelaki berusia antara 18 dan 21 tahun di Korea Selatan diwajibkan undang-undang untuk mengikuti perkhidmatan tentera dan pengecualian hanya diberikan kepada pemenang pingat di Olimpik dan pemegang pingat emas di Sukan Asia.

Namun mereka masih perlu menjalani latihan asas ketenteraan sehingga 60 hari, selain berkhidmat untuk masyarakat bagi tempoh terkumpul 544 jam.

Pemain pertahanan Korea Selatan Jang Hyun-soo mengelak daripada mengikuti latihan itu selepas memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2014 dan menghantar dokumen yang menyatakan dia melakukan kerja kemasyarakatan selama hampir 200 jam pada Disember tahun lalu.

Dia mendakwa menjalankan sesi latihan di tempat terbuka tetapi siasatan mendapati cuaca salji tebal pada waktu khidmat sosial itu dijalankan.

Dalam kenyataan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan, tindakan Jang itu mencetuskan kontroversi dan dia digugurkan untuk dua perlawanan persahabatan di Australia pada bulan depan. – AFP, 28 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen