PM Sri Lanka yang tersingkir enggan kosongkan kediaman rasmi


Cuti untuk polis dibekukan susulan ketegangan semakin teruk di Colombo dan semakin banyak tentera dilihat berhampiran kediaman rasmi perdana menteri, Temple Trees dan pejabat presiden. – Gambar EPA, 28 Oktober, 2018.

PERDANA menteri Sri Lanka yang disingkirkan, Ranil Wickremesinghe enggan mengalah dengan langkah untuk memaksanya keluar dari kediaman rasmi, ketika penggantinya mendapatkan restu dari kuil terkemuka menjelang penamaan Kabinet baharu.

Parti pemerintah baharu memberikan Wickremesinghe tempoh hingga pagi tadi untuk meninggalkan kediaman rasmi Temple Trees susulan penyingkirannya yang mengejutkan pada Jumaat, menyebabkan kekecohan perlembagaan di negara itu.

Pihak berkuasa berkata polis akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan Wickremesinghe, di mana pasukan keselamatan dan kereta rasmi turut ditarik balik oleh Presiden Maithripala Sirisena semalam.

Wickremesinghe terdahulu bertegas mengatakan penyingkiran Sirisena terhadap dirinya tidak sah dan mendesak sesi tergempar diadakan untuk membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti.

Akhbar tempatan hari ini menggambarkan langkah Sirisena itu sebagai “rampasan kuasa berperlembagaan” yang menyebabkan negara itu berdepan krisis kali pertama berlaku.

Cuti untuk polis dibekukan susulan ketegangan semakin teruk di Colombo dan semakin banyak tentera dilihat berhampiran Temple Trees dan pejabat presiden.

Sementara itu, Rajapakse hadir ke kuil Buddha di tengah ibu kota Kandy untuk memohon restu daripada sami sebelum menamakan Kabinet.

Pegawai khas Rajapakse berkata nama calon Kabinet mungkin mula diumumkan hari ini. – AFP, 28 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen