PENEMBAK Robert Bowers memerlukan hanya 20 minit dalam mewujudkan suasana penuh kengerian di rumah ibadat Tree of Life di Pittsburgh ketika sekumpulan penganut Yahudi sedang berkumpul bagi mengikuti upacara keagamaan Sabbath.
Sejurus sebelum 10 pagi waktu tempatan, Bower, 46, yang sering menulis mesej anti Semitik di media sosial menyerbu masuk dengan membawa rifle dan tiga pistol.
Stephen Weiss, antara yang berada dalam bangunan itu memberitahu akhbar Tribune Review bahawa beliau mendengar puluhan tembakan datang dari lobi depan.
“Kami sedang menghadiri upacara apabila terdengar bunyi bising dari arah lobi. Saya menyedari ia bunyi tembakan,” katanya.
Pada Sabtu biasanya pengikut dari tiga kumpulan berbeza berada di beberapa bilik dalam rumah ibadat di kawasan kejiranan Squirell Hill itu, iaitu lokasi bersejarah kaum Yahudi di Pittsburgh.
Bowers menyerang sebuah bilik yang sedang mengadakan upacara penamaan bayi dan melepaskan tembakan, menyebabkan 11 dewasa maut.
Ketika cuba meninggalkan lokasi kejadian, dia bertembung dengan seorang anggota beruniform yang segera meminta bantuan.
Dia bersembunyi di tingkat tiga premis terbabit dan ditahan polis selepas berlaku adegan berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.
Dua puluh minit selepas tembakan pertama, Bowers menyerah diri kepada polis dan dibawa ke hospital kerana beberapa kecederaan namun polis memberitahu lelaki itu dalam keadaan “baik”. – AFP, 28 Oktober, 2018.
Komen