PEMBANGUNAN pesat di Pulau Pinang menyaksikan kebangkitan kumpulan ‘pembangkang’ baharu di negeri yang dikuasai oleh DAP itu.
Ketika parti pembangkang seperti Umno, MCA dan Gerakan tidak lagi lantang bersuara, kini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil-alih tugas mereka untuk membantah impian kerajaan negeri untuk meneruskan projek mega yang hanya membawa bencana di pulau itu.
Perkembangan ini membuatkan kerajaan negeri terkejut dan berasa sukar untuk menangani pejuang alam sekitar itu.
“Ahli politik DAP hebat berjuang menentang isu rasuah. Ini yang mereka lakukan ketika menentang Barisan Nasional.
“Tapi kini, apabila berdepan isu alam sekitar dan perubahan iklim, mereka terkedu,” kata seorang wartawan berpengalaman di Pulau Pinang.
Disebabkan itu, katanya kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengambil pendirian untuk mendiamkan diri terhadap isu yang dibangkitkan aktivis.
Beliau memberi amaran kepada DAP, untuk tempoh penggal ketiga berkuasa di Pulau Pinang, mereka berisiko kehilangan sokongan popular jika gagal menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh aktivis.
Pergerakan NGO Pulau Pinang yang diketuai oleh Penang Forum, dilihat sebagai barisan hadapan untuk membantah Pelan Utama Penangkutan Pulau Pinang dengan menyatakan keputusan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak jalan raya dan meneruskan pembangunan di cerun bukit hanya akan mencetuskan bencana alam sekitar.

Aktivis Anil Netto berkata aktivis persatuan sivil Pulau Pinang dan individu yang mengambil berat termasuk golongan muda, bangkit mengisi kekosongan yang tidak dipenuhi oleh parti-parti dalam Barisan Nasional pada PRU14.
“Mereka mula dengan membangkitkan isu yang dekat dengan mereka terutama pembangunan berlebihan dan pembangunan di lereng bukit.
“Sebahagiannya didorong oleh kebimbangan tentang banjir dan tanah runtuh akibat pembangunan berlebihan, kurangnya perancangan yang wajar, projek mega di bawah cadangan pengangkutan RM46 bilion dan tambakan tanah besar-besaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, beliau lihat aktivisme itu berkembang tidak lama selepas pilihan raya umum berakhir.
“Sebenarnya, kebimbangan tentang alam sekitar sudah lama, contohnya ketika Kempen Selamatkan Penang Hill sekitar 1990 dan hentikan projek jalan lingkaran luar pada awal 2000.
“Pada masa itu, parti politik pembangkang di negeri ini ada untuk membangkitkan isu-isu seperti itu, jadi orang ramai dapat sokongan mereka.
“Kini, parti pembangkang di negeri ini sudah hampir tiada, dan orang biasa tidak ada pilihan, kecuali bangkit menyuarakannya sendiri – dan itulah apa yang mereka buat,” katanya.
Anil berkata beliau menjangkakan gerakan hijau akan berkembang dan bakal semakin lantang bersuara.
“Isu alam sekitar semakin penting ketika pembangunan berlebihan berlaku. Saya jangka gerakan hijau akan berkembang dan semakin lantang sebagai mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Sementara itu, wartawan veteran Gobind Rudra berkata golongan muda patut sedar apa yang menjadikan Pulau Pinang unik, dan mereka perlu lebih terbabit dan aktif dalam melindungi negeri itu.
Katanya, ramai pengundi muda terpikat dengan personaliti sesetengah pemimpin politik dan ikut jejak wira mereka secara membuta tuli.
“Sebagai generasi bandar mereka lebih kepada budaya pengguna dan gaya hidup sofistikated bandar seperti Lembah Klang dan Singapura.
“Mereka lupa Pulau Pinang kecil, dan mereka terlepas pandang kemusnahan yang bakal diwarisi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Naib Presiden Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia Eric R. Sinnaya berkata kerajaan negeri melakukan kesilapan besar dengan mengabaikan isu alam sekitar, ketika melaksanakan pembangunan mega di negeri itu.
“Perubahan iklim isu utama tetapi ia tidak diambil kira langsung. Bukan di Pulau Pinang saja, tetapi seluruh negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jika tiada kemapanan, kita tidak akan capai kehidupan yang mapan.
“Di Pulau Pinang, anda tidak boleh sewenang-wenangnya merosakkannya. Saya bimbang kita sudah melampaui batas,” katanya.
Beliau berkata banyak lagi bencana boleh berlaku jika pembangunan melampau berterusan.
Katanya, kerajaan negeri perlu mendengar pendapat aktivis dan persatuan sivil, dan memahami perspektif meminimumkan kemusnahan.
Kempen terbaru Penang Forum ialah untuk kerajaan negeri mengadakan siasatan umum terhadap kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, dan ia mahu turut serta dalam siasatan itu.
Tanah runtuh baru-baru ini di projek pembinaan jalan milik Majlis Bandar raya Pulau Pinang (MBPP) itu menyebabkan sembilan pekerja warga asing maut. – 28 Oktober, 2018.
Komen