TIMBALAN Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan kunjungannya bersama Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan politik.
Turut serta menziarahi Hadi, Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin.
Azmin berkata, pertemuan itu lebih bersifat ziarah berikutan keadaan kesihatan Hadi yang masih belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan jantung.
“Sebenarnya peremuan itu lebih bersifat ziarah kerana tuan guru (Hadi) baru saja menjalani embedahan dan kita dinasihatkan tidak mengganggunya.
“Selepas dua bulan beliau tidak sihat, rasanya perlu kita ziarah dan mendoakan agar beliau cepat sembuh,” katanya ketika ditemui pada pesta makanan anjuran Bersatu Kelantan di Gombak hari ini.
Kenyataan Azmin itu disahkan oleh Shaharuddin yang menjelaskan kunjungan tersebut sebenarnya sudah lama diatur sejak presiden PAS itu menerima rawatan tetapi sering tertangguh.
Shaharuddin berkata kunjungan itu tidak ada kena-mengena dengan lantikan Azmin sebagai pengarah pilihan raya Pakatan Harapan.
“Tiada langsung cerita politik. Hanya cerita mengenai kesihatan, bertanya khabar dan sebagainya. Beliau bertanya khabar Anwar Ibrahim, dan Anwar pun sampaikan salam kepada Hadi. Ia hanya sekadar bertanya khabar dan ia lawatan silaturrahim antara pimpinan Keadilan (PKR) dan Datuk Seri Hadi,” katanya.
Foto pertemuan Hadi dan pemimpin PKR itu mencetuskan spekulasi terutamanya selepas Azmin membuat kenyataan parti itu sedia berunding dengan PAS untuk PRU14 biarpun parti Islam itu tidak membentuk kerjasama dengan PH.
Hadi memuat naik foto bersama pimpinan PKR itu di laman rasmi Facebooknya malam tadi sebaik dsahaja Najib memuji PAS kerana mengamalkan politik matang.
“Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur,” tulis Hadi di laman Facebooknya malam tadi. – 13 Ogos, 2017.
Komen