TENTERA Israel menuduh kerajaan Syria dan Iran sebagai dalang yang mengeluarkan arahan kepada pejuang Palestin di Gaza untuk melancarkan serangan roket di selatan Israel.
Serangan roket yang bermula lewat Jumaat sehingga awal Sabtu, mencetuskan serangan balas tentera udara Israel ke atas Gaza, sekali gus membangkitkan kebimbangan terhadap konflik yang lebih buruk.
Kumpulan pejuang Palestin Islamic Jihad yang melancarkan serangan itu, berkata pihaknya telah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Israel, tetapi tiada pengesahan daripada rejim Zionis.
Ketegangan terbaharu itu tercetus beberapa jam selepas enam rakyat Palestin maut dalam pertempuran di sempadan Gaza-Israel.
“Roket itu dilancarkan ke arah Israel dan kita mengetahui pihak yang mengarahakan serangan itu, Mereka adalah Damsyik dan tentera Pengawal Revolusi Iran,” kata jurucakap tentera Israel Leftenan Kolonel Jonathan Conricus.
Sekurang-kurangnya 39 roket dilancarkan ke selatan Israel oleh kumpulan Islamic Jihad sejak Jumaat dan 17 daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara manakala baki yang lain meletup di kawasan terbuka.
Pesawat Israel kemudiannya membalas serangan dengan mensasarkan 90 lokasi yang ada kaitan dengan kumpulan Hamas yang memerintah Gaza.
Lapan sasaran kumpulan Islamic Jihad turut menjadi sasaran.
Bagaimanapun tiada laporan tentang jumlah kematian atau kecederaan akibat serangan kedua-dua pihak itu. – AFP, 27 Oktober, 2018.
Komen